Siti Nuraisyah Dan Keluarga Akan Diberi Khidmat Kaunseling

Diterbitkan: Rabu, 20 Januari 2016 6:42 PM

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rohani Abdul Karim (kiri) melawat mangsa kemalangan, Siti Nuraisyah Syahril, 13, yang putus kedua belah kakinya di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Rabu. -fotoTHESTAR

(Ubah saiz teks)

KLANG: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) akan memberi khidmat kaunseling kepada Siti Nuraisyah Sahrin, 13, yang putus kedua-dua belah kaki di bawah paras lutut selepas digilis lori  dalam kemalangan di Sabak Bernam, Isnin lepas.

Menterinya Datuk Seri Rohani Abdul Karim berkata khidmat kaunseling akan turut diberikan mengikut kehendak dan kesesuaian keluarga remaja malang berkenaan yang masih trauma dengan insiden berkenaan.

"Khidmat kaunseling perlu diberikan kepada adik Siti Nuraisyah yang masih trauma dan sekiranya trauma tidak ditangani dengan baik, ia boleh memberikan kesan.

"Di samping itu, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) memberikan bantuan kerusi roda bagi memudahkan pergerakan Siti Nuraisyah," katanya dalam sidang media selepas menziarahi Siti Nuraisyah yang kini dirawat di Hospital Tengku Ampuan Rahimah di sini Rabu.

Dalam kejadian kira-kira 3.30 petang itu, Siti Nuraisyah dan kakak tirinya, Shamin Amirah Roslan, 14, yang menunggang motosikal bergesel dengan sebuah kereta menyebabkan mereka hilang kawalan dan terjatuh.

Sebuah lori pasir dari arah bertentangan yang tidak sempat mengelak lalu menggilis kedua-dua kaki remaja berkenaan, manakala kakaknya yang tercampak ke bahu jalan terseliuh kedua-dua kakinya.

Ketika kejadian, kedua-dua mereka dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bagan Terap dalam perjalanan ke rumah di Parit 16 Sungai Panjang, Sabak Bernam.

Rohani berkata beliau sudahpun meminta keluarga Siti Nuraisyah memohon kad Orang Kelainan Upaya (OKU) untuk menerima segala keistimewaan dan kemudahan yang disediakan kerajaan.

Pengerusi Biro Kebajikan UMNO, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim yang turut melawat mangsa berkata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menyampaikan sumbangan peribadi berjumlah RM10,000 kepada Siti Nuraisyah.

Katanya, Biro Kebajikan UMNO akan turut menaja sepasang kaki palsu kepada remaja malang itu selepas beliau sembuh sepenuhnya.

Selain itu, Abdul Azeez yang juga Pengerusi Tabung Haji berkata Siti Nuraisyah juga akan ditaja menunaikan umrah bersama ibu bapanya selepas ini.

Dalam pada itu, bapa tiri Siti Nuraisyah, Roslan Sardi, 40, yang mengambil upah bertani dengan pendapatan RM2,000 sebulan ketika ditemui pemberita berkata, Siti Nuraisyah yang merupakan anak keempat dari tujuh beradik masih bertanyakan  kepada keluarga sama ada kakinya boleh tumbuh balik ataupun tidak.

Sementara itu, Setiausaha Sulit Kanan Menteri Pendidikan Datuk Ramli Abd Muthalib yang turut melawat mangsa meminta pihak berkuasa meningkatkan sistem pengangkutan awam di laluan berkenaan bagi kegunaan pelajar sekolah.

iklan

Video

Rabu, 18 Oktober 2017 10:52 AM

"Saya Bukan Ustaz" - Opick

Selasa, 17 Oktober 2017 3:37 PM

Siapa Haida Hafiz?

Selasa, 17 Oktober 2017 2:49 PM

Video Majlis Resepsi 'Tycoon' Air Asia Tular

Selasa, 17 Oktober 2017 2:24 PM

Sabar Kakak, Benda Boleh Bincang...

Selasa, 17 Oktober 2017 9:00 AM

Ferhad Nak Berdangdut!

Isnin, 16 Oktober 2017 2:00 PM

Jom Santai Bersama Ruhainies Dan Tajul!

Isnin, 16 Oktober 2017 1:17 PM

Macam Mana Boleh Tersepit?

Isnin, 16 Oktober 2017 9:00 AM

#BiziBody: Haters Maki Tajul Di Instagram!

Kolumnis

iklan

Iklan