Lubang Bauksit Perangkap Maut Penduduk

Diterbitkan: Rabu, 20 Januari 2016 2:56 PM

(Ubah saiz teks)

KUANTAN: Perlombongan bauksit telah dihentikan sementara waktu sejak 15 Jan lepas, namun derita penduduk daerah ini tidak tetap berakhir apabila mereka kini terpaksa menghadapi pula episod baru kesan yang ditinggalkan oleh aktiviti itu di kawasan mereka.

Selain terpaksa menghidu debu-debu yang berterbangan daripada kawasan perlombongan bauksit berikutan fenomena El Nino yang sedang melanda negara, mereka kini berhadapan pula dengan keadaan jalan yang berlubang dan kawah tinggal akibat perlombongan mineral itu.

Menurut seorang penduduk di Kampung Bukit Kubang Badak Che Long Che Ali, 64, sebaik mengetahui arahan pemberhentian sementara aktiviti itu, ramai pengusaha bauksit haram telah meninggalkan kawasan yang diteroka oleh mereka secara tergesa-gesa.

"Mereka tinggalkan kira-kira 40 hektar kawasan perlombongan dengan timbunan 'bunga tanah' dan kawah yang mempunyai kedalaman sehingga 20 meter tanpa dikambus dan diratakan semula.

"Jalan pembangunan luar bandar (PLB) dari Taman Satelit ke Taman Datuk Rashid pula dibiarkan berlopak dan berlubang sedangkan ia merupakan laluan pintasan penduduk untuk menghantar anak-anak ke sekolah menengah dan rendah di kawasan Beserah," katanya kepada Bernama di sini.

Malah, katanya penduduk juga terpaksa menghidu debu setiap kali melalui jalan tersebut, manakala lubang-lubang dan kawah yang terhasil akibat aktiviti itu menjadi perangkap maut jika tidak berhati-hati terutama mereka yang menunggang motosikal.

Sehubungan itu beliau mengharapkan kerajaan dapat mengambil tindakan segera untuk membaiki jalan tersebut bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini di kemudian hari.

Tinjauan Bernama mendapati bersebelahan jalan tersebut terdapat kawah sedalam lebih 15 meter yang belum dikambus dan ia bagaikan perangkap maut yang pada bila-bila masa sahaja boleh mengorbankan mangsa yang melalui kawasan itu.

Paling membimbangkan, Che Long berkata perlombongan itu juga dilakukan di atas bukit yang boleh mendatangkan risiko tanah runtuh serta banjir lumpur kepada Taman Satelit dan Taman Beserah yang berada di bawah bukit itu jika berlaku hujan lebat.

Seorang lagi penduduk kampung berkenaan Nor Azman Abdullah, 45, berkata motosikal dan keretanya kerap rosak apabila melalui jalan pintasan tersebut dan terpaksa mengeluarkan belanja yang banyak setiap kali menghantarnya ke bengkel untuk dibaiki.

"Jalan berlubang sana sini, kalau hujan lebat, kita takkan tahu mana satu lopak air mana satu jalan rata. Silap gaya, masuk lubang nyawa pun melayang.

"Hendak harap pengusaha lombong untuk perbaikinya jalan itu mereka sudah melarikan diri selepas mengaut hasil yang lumayan, jadi tinggal kami yang terpaksa hadapi kesannya," keluhnya.

Sementara itu, bagi seorang penduduk Taman Beserah Thua Mong Ya, 52, walaupun kegiatan perlombongan bauksit telah dihentikan, mereka sekeluarga sehingga kini masih lagi dihimpit masalah debu.

"Hari-hari terpaksa hidu debu. Kalau tidak buka pintu, keadaan dalam rumah rasa panas, apabila buka pintu pula, habuk dan debu pula berterbangan masuk.

Hendak makan pun susah sebab meja makan memang sentiasa dipenuhi debu," katanya.

Menurutnya lagi kebanyakan penduduk di kawasan itu juga kini menghadapi masalah bekalan air disebabkan lori-lori mengangkut bauksit dipercayai telah melanggar paip-paip bekalan air yang berada di tepi jalan.-- Bernama

Tags / Kata Kunci: bauksit , Kuantan , El Nino

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan