Malaysia Perlu Hantar Angkasawan Agar Setanding Negara Maju

Diterbitkan: Rabu, 20 Januari 2016 4:30 PM

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bersama Angkasawan Negara, Datuk Dr Sheikh Muszaphar Shukor (dua, kanan) melihat sut angkasawan ‘Sokol Spacesuit' seberat 9.5kg yang dipakainya semasa menjalani misi angkasa lepas dengan menaiki Soyuz TMA-11 ke Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS) 2007 di Yayasan Kepimpinan Perdana, Rabu. Turut memerhati Angkasawan Rusia, Salizhan Sharipov (kanan).

(Ubah saiz teks)

PUTRAJAYA: Malaysia perlu menghantar angkasawannya ke angkasa lepas agar setanding dengan negara-negara maju walaupun misi itu menelan kos yang tinggi, kata bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

"Kita perlu terus menunjukkan minat dalam soal angkasa lepas dan penggunaan peralatan yang boleh digunakan bagi meningkatkan komunikasi di ruang angkasa lepas seluruh dunia. Ini juga boleh membantu meningkatkan lagi ekonomi negara," katanya.

Merujuk kepada perjalanan bersejarah ke angkasa lepas oleh angkasawan pertama Malaysia Datuk Dr Sheikh Muszaphar Shukor pada 2007, Dr Mahathir berkata: "Saya amat berbangga bahawa seorang angkasawan Malaysia telah pergi ke angkasa lepas dan ia merupakan detik-detik membanggakan bagi negara."

Bercakap kepada pemberita selepas menerima kunjungan Sheikh Muszaphar untuk menunjukkan pakaian angkasa lepas Sokol yang dipakai semasa perjalanan bersejarah itu, Dr Mahathir berkata beliau dimaklumkan bahawa kos menghantar angkasawan meningkat daripada AS$25 juta kepada AS$55 juta untuk tempoh 10 hari ke angkasa lepas.

Dr Mahathir berkata perjalanan ke angkasa lepas Sheikh Muszaphar ke Stesen Angkasa Lepas Antarabangsa (ISS) pada Oktober 2007 adalah berikutan perjanjian timbal balas kerajaan dengan kerajaan Rusia melalui pembelian pesawat pejuang Sukhoi SU-30MKM bagi Tentera Udara Diraja Malaysia.

Sementara itu, Sheikh Muszaphar berkata objektif menghantar angkasawan kedua pada 2030 di bawah Pelan Tindakan Agensi Angkasa Lepas Nasional perlu berbeza daripada misi pertama.

"Misi pertama dihantar untuk memberi inspirasi dan mengubah pemikiran generasi muda. Kita mahu dunia tahu Malaysia Boleh dan kita mampu menghantar seorang angkasawan seperti negara-negara lain," katanya.

Sheikh Muszaphar berkata misi peribadinya untuk berkongsi sebanyak mungkin pengalamannya di angkasa lepas dengan generasi muda untuk memberi mereka inspirasi supaya menjadi saintis, doktor dan jurutera dalam tempoh lima hingga 10 tahun akan datang.

Beliau berkata pakaian angkasa lepas seberat 9.5 kilogram itu yang dibawa Angkawasan Rusia Salizhan Sharipoz, bersama-sama dengan Aladdinstreet.com, syarikat e-market halaL yang diasaskannya bersama, akan mengadakan program jerayawara di seluruh negara untuk pelajar dan orang ramai mulai bulan depan.-- Bernama



iklan

Kolumnis

iklan

Iklan