Restoran Makanan Laut Dikesan Guna Logo Halal Tidak Sah - Berita Semasa | mStar

Restoran Makanan Laut Dikesan Guna Logo Halal Tidak Sah

Diterbitkan: Selasa, 19 Januari 2016 8:31 PM

SEorang pegawai penguatkuasa memeriksa logo halal di sebuah restoran makanan laut terkemuka di Persiaran Gurney, Selasa. -fotoTHESTAR

(Ubah saiz teks)

GEORGE TOWN: Sebuah restoran makanan laut terkemuka di Persiaran Gurney di sini dikesan menggunakan logo halal yang tidak sah, dipercayai bagi menarik pelanggan beragama Islam.

Penggunaan logo halal yang bukan dikeluarkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) itu dikesan dalam pemeriksaan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) dengan kerjasama Jakim, Selasa.

"Pemeriksaan dibuat setelah mendapat aduan orang ramai mengenai penggunaan logo halal yang meragukan," kata Ketua Unit Perihal Dagangan KPDNKK, Ridzuan Md Isa.

Bercakap kepada pemberita selepas operasi itu, beliau berkata selain logo halal yang digunakan tidak sah, restoran berkenaan juga dikesan meletakkan minuman keras dan minuman ringan dalam peti sejuk yang sama.

Beliau berkata pemilik premis akan disiasat mengikut Akta Perihal Dagangan 2011 dan kompaun akan diberikan setelah mendapat keterangan pemilik premis itu.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan semua premis perniagaan di Pulau Pinang menurunkan logo halal yang tidak mendapat kebenaran Jakim.

Sementara itu, Penolong Pegawai Hal Ehwal Agama Islam negeri Abdul Malek Md Shariff berkata setiap negeri hanya mengiktiraf satu logo halal dan sijil pengesahan halal yang dikeluarkan Jakim.

Tags / Kata Kunci: logo halal , KPDNKK , Ridzuan Md Isa , Jakim
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan