DAP Cawangan Pantai Sepang Putra Bubar, 25 Sertai PAP

Diterbitkan: Sabtu, 16 Januari 2016 2:30 PM

Sebahagian daripada 25 anggota DAP yang mengisytihar keluar parti sekaligus menyebabkan pembubaran DAP Cawangan Pantai Sepang Putra, menyoyak baju rasmi DAP sebagai simbolik protes dalam sidang media, Sabtu.

(Ubah saiz teks)

SEPANG: DAP Cawangan Pantai Sepang Putra, di sini dibubarkan selepas kesemua 25 anggota cawangan itu mengisytiharkan keluar partipada Sabtu.

Bekas setiausaha cawangan terbabit, N. Thanaletchumi berkata keputusan itu dibuat selepas semua anggota cawangan tersebut hilang kepercayaan kepada parti ekoran kegagalan kepimpinan tertinggi memberikan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat.

Kami anggota DAP cawangan Pantai Sepang Putra sebulat suara mengisytiharkan keluar parti berkuat kuasa pada Sabtu, katanya pada sidang media di sini. 

Beliau mendakwa, pemimpin DAP hanya datang bertemu mereka ketika memerlukan sokongan pada pilihan raya umum dan semasa pemilihan parti.

Menurut Thanaletchumi beliau sudah menghantar surat mengisytiharkan keluar DAP kepada Pendaftar Pertubuhan (ROS), semalam. 

Beliau kemudiannya mengetuai bekas anggota parti itu menyertai Parti Alternatif Rakyat (PAP), sebuah parti serpihan DAP dengan menyerahkan borang keahlian kepada Setiausaha Agung parti, David Dass.

Pada majlis itu, selain membacakan ikrar menentang DAP, mereka turut menggunting dan mematahkan kad keanggotaan serta baju DAP masing-masing sebagai simbolik mereka sudah tidak bersama parti berkenaan. -- Bernama


Tags / Kata Kunci: DAP , PAP , Pantai Sepang Putra

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan