Denggi Pembunuh, Tapi Mesej Tidak Sampai

Diterbitkan: Jumaat, 15 Januari 2016 10:05 AM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Mesej bahawa seseorang itu boleh mengalami kegagalan organ atau mati akibat demam denggi hendaklah disampaikan melalui filem, teater dan media sosial bagi meningkatkan kesedaran orang ramai, kata seorang penyelidik.

Prof Dr Sazaly Abu Bakar, yang berkhidmat dengan Pusat Kerjasama Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) untuk Kajian Arbovirus dan Rujukan di Universiti Malaysia (UM) berkata kebanyakan mereka yang tahu mengenai bahaya denggi adalah di kalangan kakitangan perubatan dan orang-orang yang mementingkan kesihatan.

"Tetapi ramai orang tidak tahu mengenai tahap bahaya demam denggi dan mereka boleh mati daripadanya.

"Mesej ini tidak sampai secara menyeluruh kepada rakyat di negara ini," katanya.


Dr Sazaly berkata beliau bersetuju dengan kenyataan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr S. Subramaniam bahawa walaupun kebanyakan rakyat Malaysia mempunyai pengetahuan yang baik tentang nyamuk Aedes, ia tidak diterjemahkan ke dalam tindakan, seperti memusnahkan tempat pembiakan nyamuk.

Katanya, mesej mengenai bahaya jangkitan denggi bukan sahaja perlu dilaporkan dalam akhbar tetapi disebarkan dalam media sosial.

"Ia mesti dibuat agar menjadi tajuk perbualan," katanya.

Hakikat bahawa orang ramai masih membuang sampah sewenang-wenangnya di taman-taman dan kawasan awam menunjukkan bahawa mereka masih tidak menyedari betapa seriusnya tindakan mereka, katanya.

Tambah Dr Sazaly usaha memerangi denggi memerlukan penglibatan seluruh masyarakat.
Tags / Kata Kunci: Demam Denggi

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan