Operasi Pembersihan Kawasan Terjejas Bauksit Bermula

Diterbitkan: Khamis, 14 Januari 2016 3:05 PM

Anggota Bomba dan Penyelamat bersama Jabatan Kerja Raya, Alam Flora serta Majlis Perbandaran Kuantan mencuci jalan dan longkang di sepanjang jalan ke Felda Bukit Goh yang dipenuhi tanah Bauksit, Khamis. Operasi pembersihan akan dijalankan selama sebulan bermula hari ini di kawasan yang terjejas akibat Bauksit.
-

(Ubah saiz teks)

KUANTAN: Operasi pembersihan kawasan yang terjejas akibat perlombongan bauksit di sini bermula Khamis, selaras dengan arahan yang dikeluarkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Pahang Datuk Abdul Wahab Mat Yassin berkata lebih 100 orang orang terlibat dalam operasi itu, termasuk 21 kakitangan jabatan berkenaan dari empat balai bomba sekitar Kuantan, melibatkan tujuh jentera berkuasa besar.

Turut terlibat dalam operasi yang bermula pukul 10 pagi itu ialah Majlis Perbandaran Kuantan (MPK), Alam Flora Sdn Bhd dan Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp), katanya.

"Hari ini, kerja pembersihan akan dilakukan di jalan raya dan kawasan taman perumahan di Jalan Sungai Lembing sebelum dilanjutkan ke tempat lain selepas tempoh moratorium bermula esok.

Kerja-kerja pembersihan melibatkan papan tanda, papan tunjuk arah, tiang lampu dan termasuk pencucian permukaan jalan," katanya kepada pemberita semasa ditemui di Taman Kampung Padang 2 di sini, Khamis. 

Abdul Wahab berkata secara keseluruhan operasi pembersihan jalan raya terjejas teruk adalah di Jalan Kuantan-Pelabuhan, Jalan Bukit Goh, Jalan Bukit Kuantan, Jalan Sungai Lembing, Jalan Kuantan Bypass, Jalan Gebeng Bypass, Jalan Jerangau-Jabor dan Jalan Bukit Sagu-Cherul. 

Beliau memaklumkan tempoh operasi ialah selama sebulan, namun optimis kerja pembersihan boleh diselesaikan dalam jangka masa lebih singkat dengan kerjasama baik daripada semua pihak.

Pihak bomba juga mengalu-alukan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) atau badan sukarelawan yang berminat untuk menyertai operasi ini bagi supaya operasi berakhir lebih cepat, tambahnya. 

"Kita akan memaklumkan kepada pengusaha kedai makan di tepi-tepi jalan terlibat dengan operasi. Mereka juga boleh memberitahu masa mereka tidak berniaga bagi memudahkan kerja pembersihan dilakukan," katanya.

Sementara itu Pengarah SWCorp negeri Datuk Mohd Nor Afandi Abd Aziz berkata sebanyak 25 taman perumahan telah dikenal pasti untuk tujuan pembersihan, selain di kawasan sekitar Gebeng, yang menjadi laluan ke Pelabuhan Kuantan. 

"Koordinasi mengenai operasi pembersihan akan dibuat berdasarkan keperluan.

Operasi akan dilakukan selama sebulan bermula pukul 9 pagi hingga 1 tengah hari," katanya.

Semalam, Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Abdul Rahman Dahlan memberitahu perdana menteri telah mengeluarkan arahan itu dalam mesyuarat Kabinet setelah mengambil maklum keluhan penduduk di Kuantan yang terjejas dengan perlombongan bauksit. -- Bernama 

Tags / Kata Kunci: bauksit , Abdul Wahab Mat Yassin , MPK

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan