Serangan Bom Istanbul: Tiada Rakyat Malaysia Terlibat

Diterbitkan: Rabu, 13 Januari 2016 11:58 AM

Kawalan keselamatan diperketatkan di sekitar lokasi kejadian serangan bom di Sultanahmed, Istanbul.

(Ubah saiz teks)

PUTRAJAYA: Wisma Putra mengesahkan tiada rakyat Malaysia terlibat dalam serangan bom yang meragut sekurang-kurangnya 10 nyawa dan mencederakan 15 yang lain.

"Kedutaan Besar Malaysia di Ankara telah mengesahkan bahawa sehingga kini, tiada rakyat Malaysia yang dilaporkan terlibat dalam kejadian ini.

"Kedutaan juga akan terus berhubung dengan rakyat Malaysia termasuklah pelajar yang menuntut di Istanbul," kata Wisma Putra.

Pada masa sama, Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya serangan pengganas yang berlaku di Sultanahmet, Istanbul pada Selasa itu.

Wisma Putra menerusi kenyataannya merakamkan ucapan simpati dan takziah kerajaan Malaysia kepada kerajaan dan rakyat Republik Turki serta keluarga dan mangsa yang terlibat di dalam serangan tersebut.

Kementerian Luar juga ingin mengingatkan rakyat Malaysia yang bermastautin atau melawat Istanbul perlu sentiasa mengutamakan keselamatan dan memantau suasana sekeliling serta mematuhi nasihat yang dikeluarkan Kerajaan Republik Turki. 

"Situasi di sekitar Ankara akan dipantau dari semasa ke semasa," kata Wisma Putra lagi.


Tags / Kata Kunci: Istanbul , Wisma Putra , Turki

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan