20 TNC Persoal Kajian Pelajar Lapar

Diterbitkan: Rabu, 13 Januari 2016 11:54 PM

(Ubah saiz teks)

PUTRAJAYA: Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA) daripada 20 Universiti Awam (UA) mempersoalkan kebolehpercayaan kajian berhubung penuntut universiti yang tidak cukup makan atau kebuluran dalam kampus.

Selain menyifatkan tujuannya mencurigakan, mereka juga mempertikaikan kesahihan kajian Pertubuhan Sukarelawan Muslim Malaysia (MVM) itu kerana senario sebenar di universiti tidak menjustifikasikan dapatan yang dilaporkan.

Mewakili Sekretariat Timbalan-Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA) Universiti Awam, Prof Datuk Dr Mohammad Shatar Sabran dari Universiti Putra Malaysia (UPM) berkata kajian yang merumuskan tiga daripada empat pelajar mengalami kebuluran itu juga dijalankan tanpa melalui bahagian hal ehwal pelajar universiti berkenaan.

"Kami juga ingin tahu dan persoalkan metodologi, bentuk dan jenis soalan yang digunakan semasa kajian kerana jika sekadar memerlukan jawapan ya atau tidak, dapatan tersebut tidak boleh dijadikan sebagai rumusan yang tepat.

"Hari ini, kami juga dengan tegas menjelaskan bahawa laporan itu adalah sama sekali menyimpang daripada senario sebenar di universiti," katanya pada sidang media di Kementerian Pendidikan Tinggi di sini, Rabu.

Sidang media itu turut disertai Prof Datin Noor Aziah Mohd Awal dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Datuk Dr Rohana Yusof dari Universiti Malaya (UM) dan Prof Dr Mohamed Fadzil Che Din dari Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM).

Bagi Mohamed Fadzil, hasil kajian yang menyatakan tiga daripada empat pelajar mengalami masalah tidak cukup makan juga boleh disimpulkan 75 peratus pelajar di universiti menghadapi kebuluran dan jika bermaksud demikian, dapatan itu adalah keterlaluan.

Beliau tidak menolak kemungkinan bahawa kajian itu dijalankan dengan tujuan tersembunyi.

Noor Aziah pula menyatakan rasa dukacita dengan laporan tersebut kerana yakin setiap universiti sentiasa meletakkan kebajikan pelajar sebagai keutamaan.

"Sebab itu kami akin kajian itu langsung tidak punyai kebolehpercayaan apabila melihat aspek bagaimana ia dijalankan," katanya, sambil menambah sehingga kini UKM tidak menerima sebarang aduan berhubung masalah seperti itu.

Berhubung tindakan ke atas pihak yang menjalankan kajian tersebut, Rohana berkata badan tersebut seharusnya tampil menjelaskan kaedah kajian yang dijalankan kepada pihak universiti bagi mengelak salah faham masyarakat dan tindakan undang-undang oleh universiti.

"Mereka harus bertanggungjawab ke atas kajian yang dijalankan kerana kami boleh bertindak mengemukakan saman kerana memfitnah sedangkan pihak universiti telah menjalankan tugas terbaik dalam menjaga kebajikan pelajar," katanya.

Sementara, itu Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Idris Jusoh yang menyertai sidang media kemudiannya, berkata perkara itu seharusnya tidak menjadi isu berdasarkan keprihatinan dan komitmen universiti membantu pelajar yang bermasalah.

Beliau berkata keperihatinan pihak universiti terserlah apabila seramai 31,776 pelajar yang menghadapi masalah dalam soal kebajikan dibantu dengan peruntukan RM5.2 juta melalui Tabung Kebajikan Mahasiswa seluruh universiti awam sepanjang tahun lepas.

Katanya bantuan tersebut meliputi pembayaran yuran pengajian, yuran hospital dan perubatan, bantuan kewangan disebabkan anggota keluarga yang meninggal dunia, selain inisiatif lain antaranya program-program amal seperti makanan percuma.

Beliau berkata seramai 6,813 pelajar juga bekerja secara sambilan di universiti bagi membantu mereka menampung kos sara hidup seperti menjadi tutor, bekerja di pejabat dan menjadi pembantu makmal.

Ditanya sama ada isu itu dibincangkan pada mesyuarat Kabinet hari ini, Idris berkata tidak secara umum tetapi ia dibincang dan dimaklumkan kepada anggota jemaah menteri melalui aplikasi WhatsApp dan mengambil maklum penjelasan yang diberikan kementerian.

Tags / Kata Kunci: Pelajar Lapar

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan