Sultan Selangor Berkenan Lantik Setiausaha Negeri Baharu - Berita Semasa | mStar

Sultan Selangor Berkenan Lantik Setiausaha Negeri Baharu

Diterbitkan: Isnin, 11 Januari 2016 4:25 PM

Datuk Mohamad Amin Ahmad Ahya mengangkat sumpah sebagai SUK yang baharu di hadapan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah.

(Ubah saiz teks)

SHAH ALAM: Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah pada Isnin berkenan menyampaikan watikah pelantikan kepada Setiausaha Kerajaan Negeri baharu Datuk Mohamad Amin Ahmad Ahya di Istana Bukit Kayangan di sini.

Mohamad Amin, 55, menggantikan Datuk Setia Mohamad Khusrin Munawi yang bersara pada 3 Januari lepas.

Baginda turut menyampaikan watikah pelantikan kepada Dr Anhar Opir yang dilantik sebagai Timbalan Mufti Selangor baharu berkuat kuasa pada 1 Jan lepas dan Tengku Mohamed Tengku Harun dilantik sebagai Engku Penggawa Muda Paduka Maha Bijaya Kuala Langat.

Anhar, 40, menggantikan Datuk Abdul Majid Omar manakala Tengku Mohamed, 60, menggantikan Raja Datuk Uzair Tengku Zainon Rashid Shah.

Abdul Majid dan Raja Uzair meletakkan jawatan atas faktor kesihatan.

Pada majlis sama, Sultan Sharafuddin berkenan menyampaikan watikah pelantikan kepada Ketua dan lima Pendaftar Perkahwinan, Perceraian dan Rujuk Orang Islam.

Majlis pelantikan itu turut dihadiri Menteri Besar Selangor Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Mufti Selangor Datuk Mohd Tamyes Abd Wahid.

Tags / Kata Kunci: Mohamad Amin Ahmad Ahya
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan