Tourism Malaysia Tarik Perhatian Di Pameran Kembara New York

Diterbitkan: Ahad, 10 Januari 2016 1:12 PM

(Ubah saiz teks)

NEW YORK: Malaysia terus menjadi destinasi pelancongan menarik seperti yang terbukti menerusi Pameran Kembara New York selama tiga hari yang menyaksikan Pejabat Tourism Malaysia New York bekerja keras dalam mengetengahkan pelbagai tarikan pelancongan di negara itu.

Mary Scully, pengurus pemasaran Pejabat Tourism Malaysia New York, berkata semakan semula aliran pelancong pada 2015 dari Amerika Utara ke Malaysia memperlihatkan peningkatan kecenderungan ke arah pelancongan mewah.

Turut menjadi pilihan adalah apa yang disifatkannya sebagai 'pengalaman kembara unik', misalnya melihat hidupan liar di habitat mereka.

"Selain trend seumpama itu, kami turut mendapati trend kembara bersama-sama keluarga, yang dikenali sebagai kembara generasi, ke Malaysia," katanya ketika ditemui Bernama pada pameran itu.

Scully berkata beliau mendapati wujud 'aura positif' yang digambarkan oleh kalangan blogger dalam mengetengahkan trend kembara baharu.

Beliau berkata sesetengah blogger sudahpun mengenali Malaysia serta keindahan beberapa lokasi seperti Melaka, Kota Kinabalu dan Pulau Pinang.

Bagaimanapun, kata Scully, satu daripada cabaran yang dihadapi kebanyakan negara di Asia Tenggara untuk menarik kedatangan pelancong dari Amerika Syarikat adalah kekurangan penerbangan terus ke destinasi mereka.

Katanya cabaran sama turut dihadapi Malaysia. 

Sementara itu, anak jati Pennsylvania, Arthur Richards, yang mengunjungi Malaysia buat kali pertama pada 2008, berkata aset terbaik negara itu adalah penduduknya yang ramah, mesra dan suka membantu.

"Apabila bercakap tentang pelancongan, kita sering memperkatakan tentang mercu tanda, bersiar-siar, berhubungan, makanan serta membeli-belah. Tetapi lain pula dengan Malaysia...aset terbaiknya adalah rakyatnya," kata arkitek itu ketika ditemui pada pameran berkenaan.

"Ini berdasarkan pengalaman saya yang sangat gemar melancong dan kerap mengembara ke Asia," katanya, dan menambah, beliau pernah melawat beberapa mercu tanda bersejarah seperti Taj Mahal, Angkor Wat dan Tembok Besar China.

Menurut Tourism Malaysia dan Jabatan Imigresen Malaysia, jumlah keseluruhan kedatangan pelancong menurun sembilan peratus pada suku pertama (Januari-Jun) 2015 dengan mencatatkan sebanyak 12.57 juta pelancong antarabangsa ke Malaysia.

Daripada jumlah itu, pelancong dari Amerika Utara berjumlah 122,386 orang bagi enam bulan pertama tahun lepas berbanding 262,106 orang yang direkodkan sepanjang 2014.

Bagi tahun ini, Pejabat Tourism Malaysia New York merancang menyertai pameran perdagangan dan kepenggunaan, misalnya Pameran Kembara Dunia Boston serta pameran perdagangan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia di Santiago, Chile.-- Bernama



Tags / Kata Kunci: Tourism Malaysia , New York , Mary Scully

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan