Fenomena El Nino 'Kuat' Ekoran Hujan Kurang Di Malaysia

Diterbitkan: Sabtu, 9 Januari 2016 4:30 PM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Intensiti hujan negara dijangka berkurangan antara 20 hingga 60 peratus bermula bulan ini, ekoran fenomena El Nino sedang melanda Malaysia pada masa ini.

Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Datuk Che Gayah Ismail berkata tahap El Nino kini dikategorikan sebagai 'kuat' dan dijangka suhu negara meningkat antara 0.5 dan 2 darjah celsius.

Beliau berkata impak El Nino yang kuat itu akan berterusan sehingga April dengan negeri-negeri di utara Semenanjung sudah mula menerima kesan fenomena itu.

Impak El Nino kuat ini akan turut dirasai semua negeri di Semenanjung, Sabah serta Bahagian Miri dan Limbang di Sarawak menjelang hujung bulan ini, katanya ketika dihubungi Bernama, Sabtu.

"Kalau kita lihat rekod, suhu maksimum negara semasa dilanda El Nino pernah mencecah 40.1 celsius pada 1998.

"Oleh itu pihak kami tidak menolak kemungkinan situasi yang sama bakal berulang," katanya.

El Nino adalah fenomena pemanasan suhu permukaan laut yang berlaku dalam tempoh enam bulan berturut-turut setiap dua hingga empat tahun di timur Lautan Pasifik.

Ia boleh menyebabkan rantaian perubahan iklim berlaku di seluruh dunia dan antara kesannya ialah hujan lebat di sesetengah kawasan, sementara di kawasan lain, berlaku kemarau berpanjangan.

Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) mengeluarkan kenyataan pada Disember 2014 menyatakan fenomena El Nino yang sedang melanda seluruh dunia, yang bermula sederhana dan setempat di Pasifik pada akhir 2014, kini meningkat meliputi sebahagian besar Asia dan Pasifik.

Fenomena itu juga mendatangkan kesan besar seperti di tengah dan selatan India, tengah dan timur laut Thailand, tengah dan selatan Filipina, utara Kemboja, timur Indonesia, Papua New Guinea dan kebanyakan negara kepulauan Pafisik.

Dalam pada itu, Che Gayah berkata intensiti fenomena El Nino dijangka mencapai kemuncak pada bulan ini, dan seterusnya beransur lemah mulai Februari, dan keadaan dijangka menjadi neutral selepas Jun 2016. -- Bernama



Tags / Kata Kunci: El Nino , Malaysia , hujan , Che Gayah Ismail

iklan

Video

Jumaat, 24 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Harry - Abang Lori Tenonenonet

Khamis, 23 November 2017 11:18 PM

Fazura Sah Tunangan Fattah Amin

Khamis, 23 November 2017 7:36 PM

Alahai KTM! Bila Isu Tren Tergelincir Nak Selesai?

Khamis, 23 November 2017 4:00 PM

Tatang Bagai Puteri, Tapi Ini Jadinya - Harris Baba

Khamis, 23 November 2017 3:45 PM

Tak Perlu 'FB Live' Anak Berjaya UPSR - Prof Muhaya

Khamis, 23 November 2017 2:32 PM

Bayar 'Ciput', Lepak Sampai Puas

Khamis, 23 November 2017 9:00 AM

Lagu Tak Layak, Ayda Jebat Sekadar Nak Tahu Punca

Rabu, 22 November 2017 7:00 PM

"Saya Sedih, Kecewa Dengan Nabil" - Chef Wan

Selasa, 21 November 2017 9:00 AM

Kenali Siapa Penyanyi Lagu 'Bismillah'

Kolumnis

iklan

Iklan