Tak Perlu Jabatan Khas Untuk Lelaki - Rohani

Diterbitkan: Khamis, 7 Januari 2016 6:53 PM

Datuk Seri Rohani Abdul Karim

(Ubah saiz teks)

PUTRAJAYA: Tidak perlu jabatan khas bagi menjaga hal ehwal lelaki diwujudkan, kata Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rohani Abdul Karim.

Dalam reaksi terhadap cadangan kementerian mewujudkan jabatan khas lelaki susulan peningkatan kes penceraian disebabkan suami didera isteri, beliau berkata apa yang penting ialah program mengenai hak dan kepentingan golongan lelaki.

Bercakap kepada pemberita selepas menghadiri perhimpunan bulanan kementeriannya di sini hari ini, beliau turut menegaskan bahawa perancangan dan pelaksanaan dasar dan gerak kerja kementeriannya menjurus untuk wanita dan lelaki.

"KPWKM tidak melibatkan wanita sahaja. Segala yang KPWKM buat menjurus untuk lelaki dan wanita kerana keluarga melibatkan ibu dan ayah. Dalam isu perlindungan kanak-kanak juga melibatkan kanak-kanak lelaki dan perempuan," katanya.

Dalam kes membuli suami, beliau berkata Akta Keganasan Rumah Tangga adalah untuk semua dan isteri yang ganas boleh dikenakan tindakan.

Rohani diminta mengulas mengenai saranan Pensyarah Kuliah Undang-undang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof Madya Dr Shamrahayu Abdul Aziz yang dilaporkan membuat saranan itu susulan kajian pakar sosial Universiti Putra Malaysia (UPM) yang mendapati 23,800 kes penceraian dalam kalangan pasangan Islam di negara ini pada tahun adalah 2014 disebabkan penderaan mental dan psikologi yang dialami suami.

Beliau juga dilaporkan berkata tanggungjawab lelaki sebagai suami lebih berat berbanding isteri tetapi golongan itu tidak ada tempat untuk membuat aduan.

Sementara itu, Rohani yang juga Presiden Majlis Antara Kerajaan bagi Pengurusan Program Transformasi Sosial (MOST IGC) UNESCO, berkata beliau akan mencadangkan agar Malaysia menjadi tuan rumah kepada satu daripada mesyuarat MOST IGC.

Beliau yang yang dilantik menerajui MOST IGC bagi tempoh 2015-2017,  berkata Malaysia akan memainkan peranan aktif dalam MOST IGC selaras dengan  kepercayaan yang telah diberikan oleh masyarakat dunia kepada negara.

MOST yang dilancarkan pada 1994 ialah satu-satunya program UNESCO yang menggalakkan penyelidikan sains sosial yang akan diguna oleh pembuat dasar di peringkat global yang terdiri daripada 35 negara anggota UNESCO termasuk China, Turki, Brazil, Kanada dan Indonesia.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan