Jenazah Kapten Hasman Diterbangkan Ke New York Hari Ini

Diterbitkan: Sabtu, 2 Januari 2016 7:18 PM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Jenazah pegawai Angkatan Tentera Malaysia Kapten Hasman Hussin, yang disahkan meninggal dunia selepas kenderaan dinaikinya hanyut dalam banjir di Missouri, Amerika Syarikat, diterbangkan ke New York pada Sabtu.

Markas Tentera Darat dalam kenyataan hari ini berkata usaha membawa pulang jenazah Kapten Hasman sedang dilakukan setelah selesainya urusan dokumentasi dan pengurusan jenazah di rumah mayat Waynesville, Fort Leonard Wood pada 11 pagi semalam.

Katanya jenazah diterbangkan ke New York menggunakan pesawat komersial dari Lapangan Terbang Antarabangsa Lambert-St Louis, Missouri pada 9.10 pagi Sabtu.

Menurut Markas Tentera Darat penerbangan dari New York ke Malaysia sedang diusahakan dan jenazah akan diiringi oleh Penolong Atase Pertahanan Malaysia di Washington DC, Leftenan Kolonel Mohd Hafizar Md Idris dari Fort Leonard Wood  hingga ke Kuala Lumpur.

Jadual penerbangan dari New York ke Malaysia akan dimaklumkan setelah pengesahan diperolehi oleh pihak Tentera Darat, katanya.

Hasman, 33 yang sedang menjalani kursus di Fort Leonard Wood sejak 1 Okt lepas dilaporkan hilang pada 26 Disember lepas apabila kenderaan yang dinaiki bersama rakan kolejnya dihanyutkan banjir di Missouri, yang turut meragut nyawa empat rakannya.

Rabu lepas Markas Tentera Darat mengesahkan mayat Allahyarham dijumpai pada 11 pagi, 28 Dis waktu tempatan (1 pagi, 29 Disember waktu Malaysia).

Tags / Kata Kunci: Hasman Hussin

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan