Malaysia Sambut 2016 Dengan Keunikan Tersendiri

Diterbitkan: Jumaat, 1 Januari 2016 7:00 AM

TAHUN BARU... Orang ramai teruja melihat pertunjukan bunga api sempena sambutan Ambang 2016 di Menara Berkembar Petronas Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, tengah malam Khamis. - fotoBERNAMA

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Rakyat Malaysia menyambut 2016 dengan pelbagai acara termasuk menyaksikan persembahan bunga api mempesonakan, selain menghadiri majlis keagamaan bagi mendoakan kesejahteraan rakyat dan negara dalam menghadapi tahun baru yang dijangka penuh cabaran.

Beribu-ribu rakyat negara ini dan warga asing membanjiri lokasi tertentu di seluruh negara untuk menyertai acara-acara yang diadakan termasuk konsert sebelum sama-sama menghitung detik 12 tengah malam.

Sambutan Ambang Tahun Baharu di ibu negara berlangsung di kawasan sekitar Menara Berkembar Petronas, pusat beli-belah Pavilion di Bukit Bintang dan  The Curve di Damansara serta beberapa lokasi lain.

Langit Kuala Lumpur turut bermandikan cahaya dengan percikan bunga api sejurus tiba detik 12 tengah malam yang menandakan bermulanya 2016.

Dalam pada itu, umat Islam membanjiri Dataran Merdeka untuk menyertai program 'Kuala Lumpur Berselawat Wilayahku Ceria' yang juga dihadiri Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Majlis itu, yang padat dengan selawat, nyanyian nasyid, alunan qasidah dan lagu kerohanian, diserikan dengan kehadiran tokoh nasyid nusantara Habib Syech Abdul Qadir As-Seggaf.

Seorang lelaki dengan penuh penghayatan mengalunkan selawat ke atas Nabi Muhammad SAW.

Majlis itu dianjurkan Yayasan Pendidikan Cheras (YPC) dan Majlis Agama Wilayah Persekutuan dengan kerjasama Kementerian Wilayah Persekutuan, Kementerian Komunikasi dan Multimedia, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan.

Selain itu, aktiviti keagamaan sempena tahun baharu turut berlangsung di Masjid Wilayah Persekutuan, Kuil Buddha Sri Lanka serta gereja di sekitar ibu kota.

Keadaan keselamatan dan trafik juga terkawal dengan kira-kira 300 anggota polis trafik Kuala Lumpur ditugaskan mengawal keadaan lalu-lintas di jalan-jalan utama.

Di PUTRAJAYA, program Kesenian Islam Ambang Tahun Baharu 2016 diisi dengan bacaan Yasin, tahlil, doa selamat, forum Bicara Santai serta persembahan nasyid berlangsung di Masjid Putra.

Di SELANGOR, penduduk Shah Alam membanjiri i-City untuk menyambut kedatangan 2016 sambil disajikan dengan persembahan bunga api tepat detik 12 tengah malam.

Di PAHANG, hampir 1,000 peserta mengambil bahagian dalam acara '2016 New Year Nite Ride' anjuran Majlis Perbandaran Kuantan melibatkan kayuhan berbasikal sejauh 35 kilometer mengelilingi bandar Kuantan hingga ke Pantai Teluk Cempedak.

Sementara itu, kira-kira 700 penganut Kristian menghadiri upacara keagamaan sempena tahun baharu di Gereja St Thomas, di bawah pimpinan Paderi Patrick Boudville.

Program Kuantan Berselawat yang berlangsung serentak dengan sambutan Maulidur Rasul di Masjid Sultan Ahmad Shah 1 pula menarik perhatian masyarakat Islam setempat.

Di PERAK, Dataran Majlis Bandaraya Ipoh menjadi tumpuan kira-kira 20,000 rakyat yang menyambut ketibaan 2016 dengan pertunjukan bunga api, persembahan juara Gegar Vaganza musim kedua Siti Nordiana dan pelancaran logo Tahun Melawat Perak 2017 dan tarian 'flashmob' oleh anggota Budaya Kreatif negeri.

Acara keagamaan turut menjadi pengisian program ambang tahun baharu anjuran Jabatan Agama Islam negeri di Masjid Sultan Idris Shah II.

Di PULAU PINANG, pengunjung memenuhi Persiaran Karpal Singh, Jelutong untuk meraikan kedatangan 2016 dengan konsert artis tempatan, persembahan tarian dan juga pertunjukan bunga api.

Kumpulan penari moden LED menunjukkan angka tahun 2016.

Di KELANTAN, sambutan Ambang 2016 disambut secara sederhana di perkarangan Stadium Sultan Muhammad ke-IV dengan Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob menggunakan kesempatan itu untuk menggesa penjawat awam di Kelantan supaya  memberi perkhidmatan terbaik buat rakyat.

Di MELAKA, sambutan diisi dengan persembahan kebudayaan Briged Seni Melaka dan acara Miss Tourism World 2015 disertai peserta dari 50 negara di Dataran Pahlawan, Bandar Hilir.

Selain itu, majlis kesyukuran dan doa selamat turut diadakan di beberapa masjid utama seperti Masjid Al-Alami di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka, Masjid Sayyidina Ali di Bukit Katil dan Masjid Al-Azim di Bukit Palah.

Di SABAH, walaupun tiada acara sambutan khusus, namun penduduk setempat memilih untuk meraikan tahun baharu bersama keluarga dan rakan di lokasi seperti Teluk Likas. - BERNAMA

Tags / Kata Kunci: sambutan 2016

iklan

Video

Selasa, 12 Disember 2017 5:41 PM

Jom Lepak Tempat 'Best' Tapi Percuma

Selasa, 12 Disember 2017 8:30 AM

Isteri Pertama Kena Kuat, Tak Boleh Lemah - Elizad

Isnin, 11 Disember 2017 9:00 AM

#BiziBody : De Fam Kantoi Gambar Selfie

Ahad, 10 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Aziz Harun - Jangan

Jumaat, 8 Disember 2017 10:55 PM

Abam Bocey Malu Manja Dengan Isteri Depan Kamera

Jumaat, 8 Disember 2017 8:15 PM

Malaysia Tak Diam Diri, Terus Bela Nasib Palestin

Jumaat, 8 Disember 2017 2:02 PM

Zarul Husin Takut Tua

Jumaat, 8 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Awi Rafael - Kau Di Hatiku

Kolumnis

iklan

Iklan