Aset, Program Latihan UTK Ditingkatkan - Ahmad Zahid

Diterbitkan: Jumaat, 1 Januari 2016 1:15 PM

Ahmad Zahid memeriksa kawalan kehormatan pada sambutan ulangtahun Unit Tindakhas (UTK) ke-41 di Kompleks Pasukan Simpanan Persekutuan Cheras pada Jumaat. - fotoBERNAMA

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Keupayaan Unit Tindakan Khas (UTK) Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan dipertingkatkan lagi menerusi pembelian aset terkini, selain skim latihan lebih baik, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata insentif penambahbaikan aset dan perkakasan yang akan dimulakan tahun ini itu adalah penting dalam meningkatkan kesiapsiagaan unit elit PDRM itu bagi menghadapi sebarang ancaman keselamatan.

"Walaupun selama ini mereka dari semasa ke semasa mempunyai aset tetapi saya merasakan mereka perlu diberikan aset baharu mengikut keadaan semasa," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Sambutan Ulang Tahun ke-41 UTK di Kompleks Pasukan Simpanan Persekutuan Cheras, di sini Jumaat.

Mengenai latihan, Ahmad Zahid berkata sebanyak empat negara telah menawarkan latihan kemahiran kepada anggota PDRM khususnya UTK bagi menjalani latihan di negara berkenaan.

"Negara tersebut satu di Amerika Utara, satu di Eropah dan dua di Asia," katanya yang enggan mengulas lanjut mengenai empat negara berkenaan.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata sebagai penghargaan kepada UTK yang telah 41 tahun memberi sumbangan yang besar kepada negara, kerajaan akan memastikan unit itu mempunyai bangunan sendiri yang akan dibina mulai tahun ini.

"UTK telah perlihatkan prestasi yang cukup membanggakan selama 41 tahun dan telah mencipta nama bukan hanya di negara ini tetapi di peringkat serantau dan sejagat," katanya.

Terdahulu, dalam ucapannya pada majlis itu, Ahmad Zahid berkata imbuhan bukan kewangan terhadap UTK serta pegawai dan anggota yang meliputi aspek aset dan perkakasan perlu dipertingkatkan supaya UTK terus cemerlang.

"Kita tahu di sebalik kecemerlangan ada kesedihan ... bangunan (UTK) masih kayu. Saya berjanji pada diri saya sendiri tahun ini, akan ada bangunan baharu untuk UTK selain penambahan aset baharu mulai tahun ini," katanya.

Katanya selain aset dan perkakasan, kerajaan dan Kementerian Dalam Negeri sedang menambah baik "Personal Integrated Tactical System (PITS) from head to toe" UTK.

Hadir sama pada majlis itu ialah Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Noor Rashid Ibrahim, Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri/Ketenteraman Awam (KDN/KA) Bukit Aman Datuk Muhammad Fuad Abu Bakar, Komander UTK Datuk Hazani Ghazali dan bekas Ketua Polis Negara Tun Mohammed Hanif Omar. 

UTK ditubuhkan pada 1 Januari 1975 oleh Mohammed Hanif sewaktu menjadi Ketua Polis Negara.

Dengan moto "Tangkas, Banteras, Ganas", UTK terdiri daripada pegawai dan anggota terpilih yang menjalani latihan khas dalam menangani tindakan keganasan. - BERNAMA

Tags / Kata Kunci: PDRM , UTK , Ahmad Zahid Hamidi

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan