PBPM Nafi Jual Kad VVIP Bagi Anggota Dapat Keistimewaan Tertentu

Diterbitkan: Rabu, 30 Disember 2015 4:46 PM

Dr Hassan Yusoff (dua, kiri) bersama anggota PBPM menunjukkan laporan polis dan lampiran sindiket penipuan kad VVIP di pejabat PBPM pada Rabu. Foto: Bernama

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Persatuan Bekas Polis Malaysia (PBPM) pada menafikan pihaknya mengeluarkan dan menjual kad VVIP yang memberi akses tertentu kepada pemilik kad.

Presidennya Dr Hassan Yusoff berkata persatuan itu juga tidak pernah mengeluarkan kad seumpama itu kepada anggotanya.

Beliau berkata demikian berikutan terdapatnya iklan-iklan mengenai penjualan kad itu oleh sindiket dengan meletakkan harga RM4,990 untuk rakyat tempatan, dan RM5,990 untuk warga asing bagi Ahli Kehormat seumur hidup.

Sementara itu bayaran sebanyak RM1,990 dikenakan untuk rakyat tempatan danRM2,490 kepada warga asing untuk tempoh tiga tahun, katanya kepada pemberita pada Rabu.

Hassan berkata sindiket itu telah mengambil kesempatan menggunakan nama persatuan itu dengan menjual kad berkenaan dengan harga yang tinggi.

"Sindiket tersebut turut berani mengiklankan penjualan kad itu secara terbuka di laman blog dan laman sosial Facebook dan mendakwa pemilik kad itu akan terlepas daripada kesalahan saman, imigresen dan pelbagai kesalahan apabila berhadapan pihak berkuasa," katanya.

Beliau berkata pihaknya mengesan penipuan itu apabila terdapat maklumat mengatakan terdapat warga asing yang mendakwa memiliki kad VVIP daripada PBPM pada 21 Disember lepas.

Hassan berkata, pihaknya turut mengesan operasi sindiket itu semakin berleluasa di seluruh negara terutama di Pulau Pinang dan Putrajaya.

"PBPM percaya agen sindiket berkenaan masih bergiat aktif di Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya dengan menyasarkan golongan yang mempunyai masalah permit," katanya.

Beliau berkata, cawangan persatuan itu di enam buah negeri telah membuat laporan polis  berhubung sindiket berkenaan dan berharap pihak polis dapat segera mengambil  tindakan.

Dalam perkembangan lain, Hassan berkata pihaknya menerima aduan terdapat bekas anggota PBPM yang mendakwa diri mereka presiden dan timbalan  presiden membuat permohonan tabung rayuan menggunakan nama PBPM  daripada syarikat swasta.

Susulan itu, pihaknya telah membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi pada Isnin lepas berikutan aduan mangsa penipuan itu daripada sebuah syarikat di Ampang yang telah datang ke pejabat PBPM di sini.

 "Mereka yang terlibat dalam penipuan ini telah dibuang daripada menjadi ahli persatuan kerana melanggar undang-undang PBPM dan kini meminta derma kononnya untuk disumbangkan kepada anggota dan ahli keluarga bekas polis dengan menggunakan nama Tabung  Rayuan Kebajikan PBPM," katanya. -Bernama

Tags / Kata Kunci: PBPM , Dr Hassan Yusoff

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan