JKMR Yakin Panel Khas SPRM Jalankan Siasatan Bebas, Telus - Abu Zahar

Diterbitkan: Selasa, 29 Disember 2015 8:40 PM

(Ubah saiz teks)

PUTRAJAYA: Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah (JKMR) yakin penubuhan panel bebas khas oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dapat menangkis tanggapan negatif terhadap suruhanjaya itu.

Sambil menyambut baik penubuhan panel khas itu, Pengerusi JKMR Tan Sri Abu Zahar Ujang berkata dengan adanya panel berkenaan, SPRM dapat menjalankan siasatan dengan bebas, telus dan profesional.

"JKMR berpendirian langkah ini penting memandangkan siasatan semasa yang dikendalikan oleh SPRM melibatkan kes khas berprofil tinggi," katanya dalam kenyataan hari ini.

Sehubungan itu, katanya JKMR yakin penubuhan panel khas itu tidak akan mencabar dan menjejaskan kuasa Peguam Negara dalam membuat keputusan mengikut Perlembagaan Persekutuan.

Baru-baru ini, SPRM menerima syor JKMR dalam Laporan Tahunan 2014 supaya hasil siasatan kes-kes khas berprofil tinggi dibentangkan kepada satu panel bebas khas sebelum dikemukakan kepada Peguam Negara untuk keputusan muktamad.

Abu Zahar, yang juga Yang Dipertua Dewan Negara, berkata panel khas itu terdiri daripada lima anggota dengan tiga daripadanya adalah badan bebas yang memantau perjalanan SPRM seperti yang disyorkan JKMR.

"Dalam mesyuarat Pengurusan Tertinggi SPRM pada 22 Disember lalu, Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Abu Kassim Mohamed telah mencapai persetujuan berkenaan pelantikan anggota panel bebas ini yang terdiri daripada kalangan profesional dan tidak terlibat dalam parti politik," katanya.

Menurutnya panel bebas itu juga akan melihat dengan teliti semua hasil siasatan dan syor yang dibuat oleh SPRM berhubung kes SRC International dan dana RM2.6 bilion yangdalam kertas siasatan.

Panel itu akan memastikan cadangan yang dibuat dalam laporan siasatan adalah atas merit bukti yang dikumpulkan SPRM, selain memastikan siasatannya dijalankan dengan telus. - BERNAMA

Tags / Kata Kunci: JKMR , SPRM

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan