Jabatan Pendidikan Kelantan Sedia Bantu Urus Pertukaran Norieen, Miksudiar

Diterbitkan: Ahad, 27 Disember 2015 6:23 PM

Gambar fail Mirsudiar Aluj, 11, (kiri) dan Norieen Yaakob, 10, (kanan) kanak-kanak yang hilang 23 Ogos lalu ditemui dalam keadaan lemah selepas diselamatkan di Pusat operasi di Sekolah Kebangsaan (SK) Tohoi. Foto Bernama

(Ubah saiz teks)

KOTA BARU: Jabatan Pendidikan Negeri Kelantan bersedia membantu menguruskan penempatan asrama dan sekolah baharu untuk dua murid Orang Asli Sekolah Kebangsaan (SK) Tohoi yang ditemui selamat selepas berpuluh hari hilang di hutan Ogos lepas.

Ketua Sektor Pendidikan Swasta dan Pendidikan Khas Jabatan Pendidikan Negeri (JPN), Kelantan Abdul Hamid Dollah berkata ibu bapa kepada Norieen Yaakob, 10, dan Miksudiar Aluj, 11, hanya perlu hadir ke sekolah bagi melakukan urusan pertukaran itu.

"Mereka hanya perlu hadir ke SK Tohoi untuk mengisi borang dan kelulusan pertukaran akan diberikan oleh Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Gua Musang," katanya kepada pemberita pada majlis penghargaan dan minum petang sempena Karnival Sekolah Bank Simpanan Nasional (BSN) yang turut dihadiri Pengarah Perniagaan BSN Kelantan Komarudin Mustafa di sini, Ahad.

Beliau mengulas mengenai hasrat Norieen dan Miksudiar yang tidak lagi berminat meneruskan persekolahan di SK Tohoi kerana masih trauma dengan kejadian menimpa mereka dahulu.

Pada Ogos lepas, tujuh murid SK Tohoi bertindak melarikan diri dari asrama kerana takut dikenakan hukuman oleh guru selepas mandi di sungai tanpa kebenaran.

Selain Miksudiar dan Norieen, lima lagi kanak-kanak yang hilang ialah Ika Ayel, 9; Sasa Sobrie, 8; Haikal Yaakob, 8; Linda  Rosli, 8; dan Juvina David, 7, dengan kesemua mereka dari Kampung Gawin dan Kampung Penad. 

Selepas hampir 50 hari hilang di dalam hutan, empat daripada kanak-kanak itu - Ika, Haikal, Linda dan Juvina ditemui mati, manakala Sasa masih belum dijumpai.

Miksudiar dan Norieen ditemui masih hidup dalam keadaan kelaparan dan dehidrasi di tebing sebuah sungai di belantara Tohoi.

Mengulas lanjut, Abdul Hamid berkata, jabatan itu bersedia memberikan apa jua bantuan yang diperlukan untuk urusan pertukaran itu.

"Kalau mereka ingin pindah (sekolah) pun kita akan cuba tempatkan di sekolah yang ada asrama supaya mereka dapat hadir dan dapat mengikuti program di sekolah," katanya. - Bernama

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan