Beta Tidak Sebelahi Mana-Mana Pemimpin: Sultan Ibrahim

Diterbitkan: Ahad, 27 Disember 2015 9:26 AM

Sultan Ibrahim bergambar wefie bersama rakyat.

(Ubah saiz teks)

EKSKLUSIF

JOHOR BARU: Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar menjelaskan bahawa baginda adalah di atas politik dan tidak memihak kepada mana-mana ahli politik.

Baginda turut merasakan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak perlu diberikan peluang keana setiap perdana menteri Malaysia juga pernah membuat kesilapan pada masa lalu.

Semasa temubual eksklusif selama sejam bagi penutup tirai tahun ini, Sultan Ibrahim bertitah dengan penuh emosi mengenai pelbagai isu termasuk putera baginda yang baharu sahaja mangkat, Almarhum Tunku Laksamana Tunku Abdul Jalil dan hubungan baginda dengan perdana menteri dan bekas Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Baginda juga bertitah mengenai bahaya vape dan mengapa ia diharamkan dengan serta-merta kerana disifatkan sebagai 'teknologi dadah' yang mengancam masyarakat.

Sultan Ibrahim turut menyentuh isu agama termasuk peruntukan besar bagi Jabatan Kemajuan Islam Malaysia.

The Star: Tuanku, kami ingin mengucapkan takziah di atas kemangkatan Tunku Laksamana Tunku Abdul Jalil baru-baru ini. Bagaimana keluarga ini mengatasi kesedihan tersebut beberapa minggu lepas?

Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar: Tahun ini ada pasang dan surutnya untuk beta dan keluarga. Pencapaian tertinggi pada Mac lalu, apabila beta ditabalkan sebagai Sultan kelima di negeri ini dalam sejarah Johor moden. Kali terakhir upacara pertabalan diadakan 55 tahun lalu.

Beta turut mengurniakan gelaran baharu Permaisuri Johor kepada isteri beta, Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah pada majlis pertabalan itu yang merupakan satu lagi detik bersejarah di negeri ini.

Pada Oktober tahun lalu, anak sulung beta, Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim menamatkan zaman bujang apabila berkahwin dengan Che' Puan Khaleeda Bustamam.

Namun, kesemua peristiwa ini berlaku ketika keluarga ini berdepan saat sukar bersama-sama dengan Tunku Jalil berjuang melawan penyakitnya.

Tunku Jalil didiagnosis ketika sedang bercuti bersama kami di United Kingdom pada Ogos tahun lalu.

Beliau adalah pejuang sebenar dan lelaki yang sungguh berani. Walaupun proses rawatan amat menyakitkan baginya, ia juga menyakitkan buat kami.

Kami juga manusia biasa. Beta seorang bapa sama seperti ibu bapa lain di Johor. Hati beta hancur setiap kali melihat anak beta menderita terutamanya apabila mengetahui beliau akan meninggal. Beta terpaksa kuatkan diri sehingga hari terakhirnya.

Namun ketika isteri beta menulis warkah buat putera kami yang dikongsinya bersama rakyat Malaysia, kadang kala perkara yang berlaku tidak seperti yang dirancang. Tidak kira walaupun ia menyakitkan, seseorang itu perlu menerima hakikat dengan hati terbuka.

(Tunku Abdul Jalil mangkat pada 5 Disember lalu. Beliau disahkan menghidap penyakit kanser hati peringkat empat.)

Beta menyimpan semua pesanan mesej yang dihantar beliau. Ini adalah memori berharga yang amat penting untuk beta dan juga keluarga.

Namun kita perlu menerima nasib dan takdir. Allah mempunyai sebab-sebab-Nya. Beta ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih kepada rakyat Malaysia, terutamanya rakyat Johor dari semua lapisan masyarakat, kaum dan agama yang memberikan sokongan terhadap putera beta.

Beta benar-benar ingin berterima kasih dengan sepenuh hati beta. Beta amat terharu.

Malah, sehingga hari ini, masih ada yang melawat makam diraja untuk memberi penghormatan terakhir mereka.

Mengenai pengharaman vape

Soalan: Mengenai masalah kesihatan, Tuanku telah mengarahkan pengharaman penjualan produk vape di seluruh negeri ini. Apa yang membuatkan Tuanku begitu tegas?

Jawapan: Beta membuat kajian dan ini bukan adat kita. Begitu juga shisha. Beta terkejut dan berasa jijik apabila terlihat wanita bertudung dan juga kanak-kanak menghembuskan asap vape.

Beta menyedari ini adalah permulaan kepada ancaman dan perlu campur tangan secepat mungkin. Bagi beta, ini adalah teknologi dadah yang berbahaya. Tidak seperti dadah, ia sukar dikesan.

Beta bosan dengan pelbagai pihak berkuasa di peringkat negeri dan kerajaan persekutuan yang masih tidak boleh membuat keputusan mengenai isu ini. Mereka mengheret isu ini dan beberapa ahli politik membuat kenyataan tidak masuk akal bahawa vape tidak harus diharamkan kerana jutaan undi akan hilang dan kepentingan bumiputera akan terjejas.

Beta fikir apa yang baik dan beta tegas bahawa semua ini perlu dihentikan pada 1 Januari tahun depan.

Buat masa ini, semua yang menentangnya demi perniagaan mereka. Adakah anda ambil berat tentang kesihatan orang ramai?

Terdapat juga mereka yang menentang termasuk 'seorang pelawak' yang mengheretkan diri ke dalam isu ini untuk memberikan komen mereka.

(Aktivis Abdul Rani Kulup Abdullah atau Kipidap yang terkenal dengan penampilannya memakai beret merah, menjadi tajuk utama berita kerana membuat lebih 1,000 laporan polis terhadap ahli politik pembangkang dan pemimpin NGO).

Baru-baru ini beliau menyertai badan bukan kerajaan (NGO) Melayu dengan mengatakan Barisan Nasional bakal kehilangan satu juta undi pada pilihan raya umum akan datang jika pihak berkuasa terus mengenakan tindakan terhadap peniaga rokok elektronik atau vape.

Ia adalah semata-mata isu kesihatan dan beberapa ahli politik tidak wajar bercakap mengenai politik dan bangsa, ia adalah luar biasa.

Media termasuk The Star, menyiarkan bagaimana kanak-kanak sekolah rendah membelanjakan wang saku mereka untuk produk vape.

Apa yang beta takutkan sudah terjadi. Polis kini menahan beberapa individu yang menjual cecair vape berperisa ganja.

Lebih membimbangkan sindiket ini beroperasi sejak Ogos lalu dan menjualnya menggunakan Internet dan menghantar produk mereka melalui kurier.

Ini merupakan perniagaan haram. Apa kesannya jika Johor membenarkan penjualan produk itu di pusat membeli-belah, rumah kedai dan pasar malam?

Beta boleh tunjukkan banyak e-mel dan surat yang diterima dari seluruh rakyat Malaysia terutamanya ibu bapa yang menyatakan sokongan terhadap negeri ini yang mengharamkan produk tersebut.

Kini beberapa negeri lain turut mengikuti langkah ini dan Majlis Fatwa Kebangsaan mengisytiharkan vape sebagai haram.

Bagi beta, pendidikan dan kesihatan tidak patut dipolitikkan.

Sultan Ibrahim sedang menikmati makanan di sebuah restoran di Muar, Johor.

Mengenai kenyataan tegas Tunku Mahkota Johor di laman sosial

Soalan: Tuanku, tahun ini juga merupakan tahun di mana Johor sering menjadi perhatian. Tunku Mahkota Johor membuat kenyataan tegas mengenai isu yang melibatkan kepimpinan dan negara.

Jawapan: Ya, TMJ bercakap di atas keperluan untuk bersikap telus, bertanggungjawab dan dipercayai tetapi tidak pernah ditujukan kepada sesiapa.

Beliau ada pendapatnya. Sesiapa yang termakan cili akan teras pedasnya. Beta tidak berdebat dengan TMJ mengenai kenyataan beliau tetapi beta ada bertanya mengenainya dan sebaik sahaja beliau memberi penjelasan, beta ok dengan kenyataan itu.

Namun beta sentiasa menasihati beliau supaya tidak menyakiti sesiapa. Berdasarkan kejayaannya dalam bola sepak, beta fikir beliau telah mengubah wajah bola sepak di negara ini. Tidak ramai orang berpuas hati dengan kejayaan beliau. Kenyataannya sentiasa mendapat sokongan daripada rakyat. Beta melihatnya menerusi komen-komen di Facebook.

Mengenai peranan Raja dan pemerintahannya

Soalan: Adakah timbul persepsi di kalangan beberapa ahli politik bahawa Tuanku melampaui kuasa anda?

Jawapan: Beta bukan boneka di Johor. Beta mempunyai hak untuk memanggil menteri besar untuk menegur beliau pada bila-bila masa dan lain-lain dalam kerajaan beta uga. Beta merupakan individu yang melantik kerajaan negeri. Beta sentiasa meletakkan kepentingan rakyat terlebih dahulu.

Biar saya ceritakan mengenai pengajaran bersejarah apabila moyang beta, Almarhum Sultan Ibrahim yang memberi wang untuk memulakan Umno dan mesyuarat pertama sebenarnya diadakan di istana di Johor.

Selepas itu, anaknya, Almarhum Sultan Ismail, sebagai pemangku Raja Johor pada masa itu, merasmikan Kongres Melayu pada 11 Mei 1946 di Istana Besar, Johor Baru yang membawa kepada penubuhan Umno.

Biar beta ingatkan ahli politik yang tidak tahu mengenai sejarah atau terlalu malas untuk membaca buku sejarah - Umno dilahirkan di kawasan istana Johor.

Umno pada hari ini bermula di kawasan istana yang kami duduki sekarang. Itulah sejarah parti.

Peranan Sultan Ismail turut diiktiraf semasa perarakan besar yang diadakan pada 8 Jun 1946 untuk meraikan kejayaan Britain dalam mendapatkan semula Tanah Melayu selepas Jepun menyerah kalah.

Itulah bagaimana istana bertanggungjawab dalam detik-detik penting dalam sejarah negara ini.

Peranan Raja-Raja selaku penjaga Islam dan Jakim

Soalan: Boleh Tuanku berbicara mengenai peranan Raja-Raja sebagai penjaga agama Islam, memandangkan beberapa agensi agama persekutuan dilihat menggunakan pengaruh dan kuasa dalam ruang agama hangat diperkatakan baru-baru ini?

Jawapan: Kami adalah ketua agama di negeri masing-masing. Jakim boleh memberikan nasihat atau mencadangkan garis panduan tetapi segalanya bergantung kepada kami (Sultan) sama ada kami mahu menerimanya.

Beta melantik sebuah panel di dalam Majlis Agama Islam Johor. Mereka datang dengan fatwa untuk beta luluskan. Fatwa tidak boleh dikuatkuasakan tanpa kelulusan beta. Kadang kala beta mempertikaikan fatwa dan beta mahu mereka menerangkannya, tetapi Jakim tidak mempunyai hak untuk campur tangan di negeri ini.

Soalan: Adakah anda tahu bahawa sekolah Islam bermula di Johor sebelum diperkenalkan di negeri lain? 

Jawapan: Kami tidak pernah mempunyai sekolah pondok tetapi sebaliknya mewujudkan sekolah agama. Negeri lain juga sebenarnya menggunakan sukatan pelajaran kami.

Jakim melapor kepada Majlis Raja-Raja dan mereka kebiasaannya menasihati Kerajaan Persekutuan.

Beta ingin tahu sekiranya benar, mengapa mereka memerlukan peruntukan sebanyak RM1 bilion? Adakah ia termasuk peruntukan kepada semua negeri? Semasa persidangan Majlis Raja-Raja Beta yang seterusnya, beta mahu mereka menunjukkan pecahan dalam perbelanjaan. Beta mahu tahu jika mereka membiayai sekolah agama di sini.

Mengenai Istana Johor, Perdana Menteri dan bekas Timbalan Perdana Menteri

Soalan: Tuanku, maafkan kami kerana bertanya soalan sensitif memandangkan Johor kini merupakan lubuk panas politik. Kenyataan Istana Johor, sama ada rasmi atau bersahaja dikeluarkan di media sosial memberikan gambaran bahawa Tuanku mengkritik perdana menteri atau tidak memihak beliau.

Jawapan: Tidak, saya tidak memihak kepada sesiapa. Beta tidak pernah berkata beta tidak memihak kepada perdana menteri. Beliau adalah perdana menteri sama ada anda suka atau tidak.

Beta harus katakan setiap perdana menteri pernah melakukan kesilapan. Bagi beta, Tan Sri Muhyiddin Yassin adalah bekas menteri besar dan bekas timbalan perdana menteri. Beliau datang ke sini menerusi temujanji. Beta membenarkannya tetapi beta cuba mengelak bercakap mengenai politik. Beliau datang berjumpa beta sebanyak dua kali.

Beliau meluahkan rasa tidak puas hati. Beta mendengar dan menyimpannya di dalam hati. Beta juga bertemu dengan perdana menteri dan mengelak bercakap dengannya mengenai politik. Biarkan ahli politik mengendalikan hal politik. Beta di atas politik. Jika beliau memerlukan nasihat, beta di sini sebagai kawan.

Isu sama ada anda dari Johor tidak timbul.

Ya, beta lantang bersuara. Beta bercakap mengenai apa yang beta rasa dan beta gembira mesej itu disampaikan.

Istana menerima kehadiran ramai pemimpin tetapi ia tidak bermaksud selepas lawatan ini, kami menyokong kepimpinan mereka.

Mereka adalah ahli politik tetapi jangan menyalahgunakan atau menjejaskan nama baik Istana. Beta amat bangga menjadi anak Johor tetapi itu tidak bermakna beta secara membuta tuli menyokong sesiapa sahaja dari Johor. 

Perdana Menteri berasal dari Pahang tetapi beliau juga kerap memaklumkan saya mengenai isu yang memberi kesan kepada pembangunan di negeri ini.

Terdapat lawatan rasmi beliau yang dilaporkan oleh media tetapi kami juga mengadakan mesyuarat secara tenang dan tidak formal.

Beliau amat mengambil berat mengenai isu yang memberi kesan kepada Johor kerana kedudukan kami dekat dengan Singapura yang merupakan rakan strategik Johor.

Kami percaya Johor dan Malaysia akan mendapat manfaat daripada pembangunan yang sedang dilakukan dan apabila kereta api laju Kuala Lumpur-Singapura dibina, manfaat akan menjadi lebih besar.

Beta tidak mahu membangkitkan perkara yang lalu atau mengkritik mana-mana ahli politik yang sedang aktif atau bersara, tetapi perdana menteri memahami dan menghargai keperluan untuk bekerjasama dan tidak mengulangi masa lalu.

Beta dapati sukar untuk memahami rasional atau tidak rasional mana-mana pemimpin Malaysia yang mahu melihat negara bertengkar dengan Singapura. Ia adalah apa yang saya panggil sebagai pemikiran sempit.

Terdapat banyak perkara yang beta pelajari dari Singapura. Mereka melakukan dengan baik, marilah kita bersikap jujur di sini. Kita tidak perlu mengadakan lawatan sambil belajar yang mahal ke Eropah atau Amerika Syarikat, hanya pergi menyeberangi Tambak Johor ke Singapura, mereka lakukan banyak perkara yang betul dan efisyen.

Beta tahu perdana menteri menerima pelbagai kritikan tetapi beta katakan beri beliau peluang. 

Tahun ini akan menutup tirainya, kita mesti bergerak ke hadapan. Ia merupakan tahun yang mencabar bagi semua orang termasuk diri beta. Terdapat pelbagai isu yang masih perlu ditangani, yang perlu menyakinkan rakyat yang memerlukan jawapan, tetapi beta mesti katakan bahawa mereka juga perlu penutupnya.

Setiap diri kita melakukan kesilapan tetapi kita perlu bersedia belajar daripada mereka, membetulkan kesilapan dan melakukan perkara yang betul. Membetulkan apa yang salah.


iklan

Video

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Jumaat, 15 September 2017 2:00 PM

Cassidy Malu Cakap Melayu?

Jumaat, 15 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Payslip - Semangat Yang Hilang

Khamis, 14 September 2017 4:00 PM

Farida Jalal Mahu Lebih Kolaborasi Malaysia-Bollywood

Khamis, 14 September 2017 9:00 AM

Faye Kusairi Menangis Tonton Diri Sendiri

Rabu, 13 September 2017 2:00 PM

Saya Tak Jual Rupalah! - Erwin Dawson

Rabu, 13 September 2017 9:00 AM

EKSKLUSIF! Kisah Elizabeth Tan Nak Bunuh Diri

Kolumnis

iklan

Iklan