Pekerja Asing Teruja Sambut Krismas Di Ibu Kota

Diterbitkan: Jumaat, 25 Disember 2015 9:14 AM

Penganut Kristian mengadakan upacara keagamaan pada malam sambutan Hari Natal ketika tinjauan fotoBERNAMA di St. John's Chathedral malam Khamis. -fotoBERNAMA

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Sambutan Hari Krismas pada tahun ini merupakan perayaan tahunan yang sangat dinanti-nantikan dalam kalangan pekerja asing di negara ini.


Apatah lagi, Hari Krismas yang jatuh pada sehari selepas Sambutan Maulidur Rasul dan diikuti hujung minggu, memberi peluang kepada mereka untuk membuat persiapan awal dan berkumpul sesama rakan senegara, selain mengadakan upacara keagamaan bersama-sama.

Bagi buruh pembinaan dari Vietnam, Adanh Phamducdanh, 29, kesibukan mencari rezeki di perantauan membuatkannya begitu teruja apabila tibanya perayaan Hari Krismas di negara ini kerana dapat bersuka ria bersama-sama rakan senegaranya.

"Selain dapat menyertai upacara berdoa, kami turut mengadakan aktiviti beriadah seperti pertunjukan tarian tradisional dan karaoke sehari sebelum Krismas kerana bukan senang dapat berkumpul beramai-ramai," katanya ketika ditemui Bernama di sini, Khamis.

Pemuda itu merupakan antara 1,000 warga Vietnam yang akan berkumpul untuk menyambut Hari Krismas di Archidioresan Office for Human Development (AOHD).

Pham Huu Duong, 19, dari Vietnam berkata beliau mengambil kesempatan pada cuti umum hari ini untuk menghias perkarangan Gereja St John Bukit Nanas dengan mengunakan bahan terbuang.

"Di tempat kerja saya iaitu di IKEA Cheras, banyak kayu-kayu serta plastik terbuang yang boleh saya gunakan untuk menghias pokok Krismas bagi menceriakan kawasan gereja ini," katanya yang bekerja sebagai tukang kayu sejak setahun lalu.

Warga Myanmar Joseph Charu, 28, berkata sambutan Krismas di negara ini amat berbeza berbanding negara asalnya kerana ia disambut oleh masyarakat berbilang kaum.

"Saya dapat merasai kelainan menyambut Krismas di Malaysia kerana di sini cuacanya panas dan disambut secara sederhana oleh pelbagai kaum berbanding dengan kampung halaman yang mengalami musim sejuk menjelang Krismas setiap tahun," kata pemuda itu yang menetap di Malaysia sejak lima tahun lalu.

Doan Suu Cau, 46, dari Vietnam berkata selain rakan senegaranya yang bekerja di ibu kota, ada dalam kalangan mereka yang bekerja di negeri-negeri lain juga akan berkumpul di sini untuk menyambut Hari Krismas bersama-sama.

"Rakan-rakan saya ada yang datang dari Pulau Pinang, Perak dan Johor ke sini untuk menyertai upacara berdoa sempena Krismas dan kemudian kami akan memasak masakan Vietnam beramai-ramai.

"Walaupun saya terpaksa berjauhan dengan keluarga di Vietnam, setiap tahun menjelang Krismas saya akan membuat panggilan video-telefon dengan isteri dan dua orang anak saya untuk melepaskan rindu," katanya.
Tags / Kata Kunci: pekerja asing , Krismas

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan