Tiada Injil Yang Akan Dirampas, Tiada Sekatan Penggunaan - Adenan

Diterbitkan: Khamis, 24 Disember 2015 8:57 PM

(Ubah saiz teks)

KUCHING: Rakyat Sarawak amat bertuah kerana walaupun terdiri daripada pelbagai agama dan kaum yang berbeza, mereka boleh hidup sebagai sebuah masyarakat yang gembira dan bersatu padu, kata Ketua Menteri, Tan Sri Adenan Satem.

Beliau berkata hidup dalam keadaan aman dan keharmonian antara satu sama lain telah menjadi satu tradisi di Sarawak dan akan terus menjadi tradisi negeri ini.

"Tetapi saya percaya perpaduan yang sedia terjalin dalam kalangan rakyat Sarawak tidak wujud secara kebetulan. Kita telah memupuknya secara bersama dengan mengamalkan kesederhanaan dan dapat menerima orang lain yang berbeza dengan kita. Saya mesti mengucapkan terima kasih kepada semua masyarakat Sarawak kerana menerima hakikat tentang perlunya memastikan keharmonian kaum dan agama di Sarawak terus berkekalan, "kata beliau dalam perutusan khas sempena sambutan Krismas dan Tahun Baharu, di sini pada Khamis.

Adenan berkata bahawa adalah tidak mengapa untuk berbeza pendapat dan dalam cara untuk melakukan sesuatu.

"Saya tidak mengharapkan orang bersetuju dengan saya sepanjang masa tetapi yang paling penting, kita harus menghormati orang lain dan pendapat mereka serta pilihan sentiasa terbuka untuk kita berbincang dan berusaha untuk kepentingan, kebajikan dan kesejahteraan seluruh rakyat Sarawak.

"Secara khusus, kita tidak boleh mengabaikan kepentingan dan kebajikan golongan yang kurang bernasib baik, orang miskin, mereka yang tidak mendapat keistimewaan dan orang kelainan upaya," kata Adenan.

Beliau berkata beberapa perkata pertama yang terlintas di fikirannya apabila menyandang jawatan Ketua Menteri ialah bagaimana untuk menjaga kebajikan penduduk yang miskin dan kurang bernasib baik.

"Kebanyakan rakyat kita yang miskin ialah dari kawasan luar bandar. Atas sebab ini, kami telah memutuskan untuk memberi lebih tumpuan dalam membantu penduduk luar bandar supaya dapat menikmati kemudahan yang lebih baik untuk meningkatkan kualiti hidup mereka.

"Dalam hubungan ini, kerajaan negeri akan membelanjakan hampir RM600 juta tahun depan untuk membina lebih banyak jalan raya dan jambatan bagi meningkatkan kesalinghubungan di kawasan luar bandar.

"Kerajaan Negeri juga telah membelanjakan RM500 juta tahun ini dan RM500 juta lagi di bawah program transformasi luar bandar seperti diumumkan dalam bajet negeri baru-baru ini untuk meningkatkan lagi kualiti hidup di kawasan pedalaman. Menyentuh mengenai kebebasan beragama, Adenan berkata masyarakat Kristian dinegeri ini boleh menggunakan kalimah Allah dalam upacara ibadat mereka.

"Saya telah mengisytiharkan bahawa orang Kristian di Sarawak boleh menggunakan kalimah "Allah" dengan syarat ia digunakan dengan penuh hormat. Biarlah saya memberi semula jaminan kepada rakan-rakan Kristian di Sarawak tiada Injil yang akan dirampas daripada kamu dan tiada sekatan dalam penggunaan Injil dalam kalangan masyarakat Kristian di Sarawak.

"Saya tidak berada dalam kedudukan untuk memberitahu kamu bagaimana untuk menyembah Tuhan kamu dan menguruskan agama kamu. Bagaimana untuk menguruskan agama kamu adalah urusan kamu," katanya.-Bernama

Tags / Kata Kunci: Sarawak , Tan Sri Adenan Satem

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan