Taklimat TPPA Bukan Bertujuan Propaganda - Mustapa

Diterbitkan: Khamis, 24 Disember 2015 9:39 PM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri menyanggah dakwaan bahawa taklimat mengenai Perjanjian Trans Pasifik (TPPA) yang diadakan hanyalah untuk propaganda.

Sejak dokumen akhir TPPA didedahkan kepada umum pada 5 November 2015, kementerian itu bersama-sama kementerian lain dan agensi kerajaan berkaitan, meningkatkan usaha mengadakan taklimat dan dialog untuk pelbagai kumpulan bagi membantu mereka memahami perjanjian perdagangan itu dengan lebih baik.

Pada 23 Disember, dua lagi taklimat diadakan iaitu satu untuk sekumpulan 500 juruukur tanah dari seluruh negara dan satu lagi bersama 300 pemimpin pelajar daripada 10 universiti awam dan 12 universiti swasta di negara ini.

"Dalam kedua-dua sesi, saya memberi penjelasan mengenai TPPA termasuk pro dan kontra selain menjawab kritikan yang dibangkitkan. Kira-kira 12 soalan dikemukakan oleh kumpulan juruukur tanah manakala dalam sesi dengan pemimpin pelajar terdapat 20 soalan," kata Menteri berkenaan Datuk Seri Mustapa Mohamed dalam kenyataan, di sini Khamis.

Kenyataan itu dikeluarkan sebagai respons kepada laporan sebuah portal berita yang memetik Anggota Parlimen Klang, Charles Santiago yang mendakwa sesi taklimat TPPA oleh kementerian hanya sekadar propaganda.

Antara lain Santiago mendakwa taklimat diadakan bersama mereka yang tidak tahu langsung tentang perjanjian itu. Beliau juga mendakwa kementerian tidak menjawab kritikan yang dibangkitkan dalam sesi taklimat itu.

Mengulas lanjut, Mustapa berkata soalan yang dibangkitkan dalam taklimat pada Rabu itu yang menumpukan kepada isu-isu khusus berkaitan peserta dan isu-isu umum, adalah seimbang dengan sebahagian menyokong manakala yang lain pula menentang.

Sesetengah isu yang dibangkitkan adalah sama dengan yang dibangkitkan oleh Santiago dan mereka yang membantah perjanjian perdagangan itu.

"(Justeru) bagaimana Charles boleh mendakwa juruukur dan pemimpin pelajar terbabit tidak tahu langsung mengenai TPP," kata Mustapa.

Katanya jawapan kepada soalan yang dibangkitkan turut dimuat naik menerusi laman sesawang kementerian.

Malah, semakin banyak organisasi yang mendapatkan penjelasan daripada kementerian berhubung pelbagai isu berkaitan TPPA dan ini jelas menunjukkan program kementerian bukan sekadar propaganda, katanya.

Mustapa juga berkata Santiago bersikap berat sebelah dan tidak adil dalam mengutarakan pandangan bahawa tidak ada satu pun yang baik dalam perjanjian itu.

"Berdasarkan pertemuan saya dengan pelbagai kumpulan, ramai yang berpengetahuan dan tahu tentang TPP, justeru adalah tidak adil serta menjatuhkan air muka mereka jika tuduh mereka jahil.

"Pada setiap pembentangan, saya ketengahkan semua kritikan terhadap TPP termasuk yang dibangkitkan oleh YB Charles dan memberi jawapan kepada kritikan berkenaan," kata Mustapa.

Beliau berkata semua pembentangannya disusuli dengan sesi dialog.

"Kami sedar ada manfaat dan juga kos berkaitan TPPA namun pada pandangan kami manfaatnya jauh lebih besar berbanding kos. Inilah mesej yang kami akan terus tekankan dalam program pertemuan dengan orang awam," katanya.

Mustapa bagaimanapun mengakui lebih banyak pertemuan perlu diadakan bagi meningkatkan kefahaman awam tentang TPPA, faedah dan cabarannya.

Kementeriannya dan agensi berkaitan komited untuk memperhebat program pada Januari 2016, katanya. -Bernama

Tags / Kata Kunci: TPPA , Datuk Seri Mustapa Mohamed

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan