KPDNKK Terima Senarai Panjang Aduan Kedai Terlibat Pergaduhan Di Kota Raya

Diterbitkan: Rabu, 23 Disember 2015 8:23 AM

Antara pengguna yang membuat aduan terhadap kedai telefon bimbit itu.

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Hanya beberapa hari selepas insiden pergaduhan di kompleks membeli-belah Kota Raya, pengguna yang tidak berpuas hati tampil ke premis tersebut, kali ini dengan membawa bersama senarai aduan yang panjang.

Mereka datang untuk membuat laporan di kaunter aduan yang dikendalikan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) yang dibuka sejak Isnin lalu.

Anehnya, hampir kesemua penggadu, kebanyakannya warga asing hanya menunjuk ke arah sebuah kedai telefon bimbit yang diserang pada Ahad.

Warga Bangladesh, Redowan Hassan, 22, mendakwa kerani kedai di sana tidak menyerahkan telefon bimbit selepas bayaran dibuat.

"Saya diberitahu untuk datang semula pada waktu malam untuk mengambil telefon bimbit tersebut tetapi kedai sudah ditutup.

"Apa yang saya dapat daripadanya hanyalah sekeping resit," kata Redowan.

Seorang wanita yang hanya ingin dikenali sebagai "Jasmine" berkata dia mengetahui mengenai reputasi kedai tersebut menerusi beberapa laporan media.

Dia membeli sebuah telefon bimbit pada 7 Disember lalu pada harga RM2,050, tetapi menyedari model tersebut hanya berharga RM800.

"Saya hanya memeriksa dengan pengedar telefon bimbit tersebut selepas terbaca berita mengenai kedai berkenaan.

"Mereka maklumkan saya telah ditipu," kata wanita berusia 53 tahun itu.

Seorang pembantu rumah warga Indonesia yang dikenali sebagai Vivian berkata kedai tersebut pernah menipunya beberapa kali.

"Apabila saya membeli telefon bimbit, tanda harga yang diletakkan adalah sebanyak RM300.

"Namun selepas resit diberikan, jumlah yang perlu dibayar adalah sebanyak RM1,600. Saya terkejut dan meminta semula wang saya tetapi mereka enggan memberikan telefon bimbit mahupun wang saya.

"Memandangkan saya tidak boleh membayar baki bayaran, saya meminjam wang daripada majikan untuk mendapatkan telefon bimbit itu," kata wanita berusia 43 tahun itu.

Dia berkata telefon bimbit yang dibeli itu bukan tulen dan dia perlu membaikinya beberapa kali.

Ketika ditanya jumlah aduan yang diterima terhadap kedai yang sama, Ketua Pengarah Penguatkuasa KPDNKK, Mohd Roslan Mahayuddin berkata beliau perlu menunggu semua aduan yang diterima sebelum sebarang tindakan diambil.

"Buat masa ini, kami hanya menerima aduan. Tindakan akan diambil selepas siasatan," kata Roslan.

Mohd Roslan menggesa pengguna perlu menggunakan saluran yang betul untuk menyatakan aduan mereka.

"Sudah tentu, saya menggesa orang ramai untuk mematuhi undang-undang.

"Jika ia merupakan salah satu masalah pengguna atau penjualan barangan palsu, mereka boleh membuat laporan dengan kementerian tersebut.

"Kami akan siasat dan ambil tindakan," katanya.

Tags / Kata Kunci: KPDNKK , Kota Raya , telefon bimbit

iklan

Video

Khamis, 17 Ogos 2017 3:02 PM

Seksi? Urusan Saya Dengan Tuhan - Zizi Kirana

Khamis, 17 Ogos 2017 12:30 PM

Erma Reda, Jatuh Talak Satu

Khamis, 17 Ogos 2017 9:00 AM

Wak Doyok Kini Bintang Filem

Rabu, 16 Ogos 2017 3:59 PM

Bahaya Tu Abang Oii...

Rabu, 16 Ogos 2017 12:30 PM

“Senyum Je Pada Haters” - Farisha Irish

Selasa, 15 Ogos 2017 3:28 PM

Raysha Rizrose Pemalu, Bukan Sombong!

Selasa, 15 Ogos 2017 11:59 AM

Keluarga 'Control' Hidup Neera Azizi?

Selasa, 15 Ogos 2017 9:00 AM

Abang Long Fadil 2 Telan Belanja RM 3.2 Juta

Kolumnis

iklan

Iklan