NS Setuju Haram Vape, Beberapa Negeri Akan Bincang

Diterbitkan: Selasa, 22 Disember 2015 11:38 PM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Negeri Sembilan bersetuju mengharamkan penggunaan rokok elektronik dan vape selaras dengan keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan pada Isnin.

Sementara, Majlis Agama Islam Selangor, Sabah, Sarawak dan Pahang akan bersidang sebelum membuat keputusan mengenai perkara itu, manakala kerajaan Terengganu, Perlis dan Perak menunggu keputusan kerajaan Persekutuan.

Di SEREMBAN, Mufti Negeri Sembilan Datuk Mohd Yusof Ahmad berkata pihaknya mematuhi keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan mengenai perkara itu, dan akan mewartakan secara rasmi pengharaman vape di negeri berkenaan selepas Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa negeri yang akan diadakan bulan depan.

"Penggunaan vape ini lebih banyak mendatangkan kemudaratan daripada kebaikan dan ia perlu dicegah awal sebelum menjadi barah dalam masyarakat seperti dadah," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Di SHAH ALAM, Mufti Selangor Datuk Mohd Tamyes Abd Wahid berkata Jawatankuasa Fatwa negeri akan bermesyuarat Januari depan, setelah mendapat maklumat tambahan berkaitan perkara berkenaan daripada kerajaan negeri.

"Sebelum apa-apa tindakan selanjutnya dilaksanakan, rakyat Selangor perlu didedahkan tentang bahaya dan keburukan vape terhadap kesihatan," katanya dalam kenyataan hari ini, bagi mengulas keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan itu, yang diumumkan Pengerusinya Prof Emeritus Tan Sri Dr Abdul Shukor.

Abdul Shukor berkata semua ahli muzakarah bersetuju dengan memberi pandangan hukum bahawa penggunaan rokok elektronik dan vape adalah haram, dan keputusan itu dibuat setelah membuat pertimbangan daripada semua sudut termasuk syariah, perubatan dan saintifik serta unsur pembaziran dan budaya tidak sihat.

Di KOTA KINABALU, Mufti Sabah Datuk Bungsu Aziz Jaafar berkata Jawatankuasa Fatwa negeri itu akan bersidang dalam tempoh terdekat bagi membincangkan perkara tersebut, dan membuat keputusan.

"Biasanya (bersidang) pada Mac tetapi memandangkan ada keperluan, kita akan lihat dalam tempoh sebulan ini dan akan tetapkan tarikh (untuk bersidang)," katanya ketika dihubungi Bernama.

Bungsu berkata asas pengharaman vape dan rokok elektronik itu adalah kuat berdasarkan kajian dari sudut kesihatan yang menunjukkan ia memudaratkan, selain dikhuatiri terdapat individu memanipulasi penggunaannya dengan memasukkan bahan terlarang termasuk dadah.

Beliau juga bimbang penggunaan vape dan rokok elektronik memupuk tabiat kurang baik terutama dalam kalangan wanita yang tanpa segan silu menggunakannya di tempat awam kerana menganggap ia sebagai trend.

"Kita berharap dan akan cuba membuat sesuatu untuk menghalang tabiat tidak bagus dan tidak mendatangkan apa-apa (manfaat) ini," katanya.

Di KUCHING, Mufti Sarawak Datuk Kipli Yassin berkata Lembaga Fatwa Negeri Sarawak dijangka bersidang bagi memutuskan mengenai perkara itu pada Januari depan.

Di KUANTAN, Mufti Pahang Datuk Seri Dr Abdul Rahman Osman berkata Majlis Ugama Islam negeri itu (MUIP) dijangka mengambil pendirian sama dengan Majlis Fatwa Kebangsaan walaupun perkara itu perlu dibincang secara lebih teliti.

Beliau memaklumkan kepada Bernama bahawa mesyuarat Jawatankuasa Perundingan Rukun Syarak Negeri Pahang akan diadakan dalam masa terdekat bagi membuat keputusan mengenai perkara tersebut.

"Kelazimannya sebarang hukum yang dikeluarkan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan akan diikuti oleh Majlis Agama Islam negeri-negeri," katanya.

Di KUALA NERUS, Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman berkata kerajaan negeri akan menunggu keputusan Kabinet berhubung perkara tersebut sebelum membuat sebarang tindakan.

Kerajaan negeri akur dengan keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan. Namun  sebarang tindakan yang diambil terhadap peniaga barangan tersebut perlu dilakukan secara berhemah, katanya.

"Saya telahpun mengarahkan semua pihak berkuasa tempatan (PBT) mengenal pasti bilangan sebenar penjual vape di kawasan mereka. Bagi yang tiada lesen perniagaan dan lesen premis daripada PBT, kita arahkan ia ditutup melalui notis yang diberi.

"Namun bagi mereka yang mempunyai lesen perniagaan dan lesen premis PBT, kita tidak akan menjejaskan operasi perniagaan mereka sehingga kerajaan  Persekutuan mengeluarkan arahan yang seragam dan selaras berhubung penggunaan dan penjualannya," kata beliau.

Di KANGAR, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam dan Sumber Manusia Perlis, Khairi Hassan berkata keputusan muktamad mengenai perkara itu hanya akan dibuat selepas mendapat keputusan daripada Kementerian Kesihatan.

"Jika kajian Kementerian Kesihatan membuktikan vape memberi kesan buruk kepada kesihatan, kerajaan negeri menerusi mesyuarat exco akan mempertimbangkan untuk mengambil pendekatan mengharamkan penjualannya di negeri ini," katanya.

Sementara itu, Mufti Perlis Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin berkata pihaknya masih belum mengadakan mesyuarat bagi memutuskan mengenai perkara tersebut, namun menegaskan setiap yang memudaratkan kesihatan adalah haram.

Dalam pada itu, Jawatankuasa Fatwa Negeri Melaka yang bersidang pada 10 Disember lepas, memutuskan rokok elektronik dan vape adalah haram, kata Mufti Melaka Datuk Dr Mohd Mohadis Yasin.

Sehubungan itu, Mohd Mohadis berkata keputusan Jawatankuasa Fatwa Negeri Melaka mengenai vape itu akan dibawa ke mesyuarat Majlis Agama Islam Melaka pada 28 Disember ini, untuk mendapat sokongan sebelum diwartakan.

Setiausaha Kerajaan Melaka Datuk Naim Abu Bakar berkata keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan itu akan dibincangkan pada Mesyuarat Exco Kerajaan Melaka yang dijadualkan esok.

Sebelum ini, Johor dan Kelantan mengeluarkan arahan mengharamkan penjualan peranti dan cecair vape mulai 1 Januari depan, dan mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Kedah pada 23 November lepas, memutuskan haram menghisap vape dan kayu shisha kerana akan menyebabkan kemudaratan dan pembaziran kepada masyarakat Islam.

Bagi Pulau Pinang, Majlis Fatwa negeri itu pada 4 Disember lepas memutuskan penggunaan rokok elektronik dan vape serta shisha sebagai haram berdasarkan keputusan yang disepakati Panel Pakar Syariah (PPS). 

Sementara pada November lepas, Jabatan Kesihatan negeri itu memaklumkan pihaknya akan menjalankan penguatkuasaan secara pendidikan terhadap pengguna vape dan rokok elektronik yang menghisap bahan itu di kawasan yang diwartakan sebagai Zon Bebas Asap Rokok di negeri berkenaan.-- Bernama 


iklan

Video

Jumaat, 22 September 2017 2:00 PM

Ella Gamit Kenangan Bersama The Boys

Jumaat, 22 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Andi Bernadee - Tiada Lagi Maaf

Khamis, 21 September 2017 2:00 PM

Monoloque Tak Habis-Habis Nak Sindir Orang!

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Kolumnis

iklan

Iklan