Nahas Bas: Mayat 13 Rakyat Malaysia Tiba Di Senai Rabu - Berita Semasa | mStar

Nahas Bas: Mayat 13 Rakyat Malaysia Tiba Di Senai Rabu

Diterbitkan: Selasa, 22 Disember 2015 5:25 PM

(Ubah saiz teks)

BATU PAHAT: Mayat 13 rakyat Malaysia yang terkorban dalam kemalangan bas di Chiang Mai, Ahad lalu dijangka tiba di Johor pada Rabu.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Perdagangan Dalam Negeri dan Kepenggunaan Johor, Datuk Tee Siew Kiong berkata, mayat dijangka tiba di Lapangan Terbang Senai pada sebelah petang.

"Tentera Udara Diraja Malaysia akan menggunakan pesawat C-130 untuk membawa pulang mayat dan mangsa yang cedera dalam insiden itu.

"Wisma Putra telah memaklumkan kepada kerajaan negeri mengenai ujian DNA sedang dijalankan di Chiang Mai bagi mengenal pasti mangsa," katanya ketika ditemui selepas kunjungan beliau bertemu keluarga mangsa di sini, Selasa.

Siew Kiong berkata, kerajaan negeri akan menyelaras ketibaan kesemua mayat sebelum menyerahkan kepada waris masing-masing.

"Pasukan perubatan akan menaiki pesawat itu kerana kita turut membawa pulang mereka yang cedera dalam insiden tersebut," katanya.

Beliau menambah, kerajaan negeri berterima kasih kepada Thailand kerana membantu pengurusan mangsa kemalangan.

Tags / Kata Kunci: Chiang Mai
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan