Pelajar OKU Terima Tangan Robotik

Diterbitkan: Jumaat, 18 Disember 2015 9:00 AM

Wan Abdul Halim Wan teruja menerima tangan robotik.

(Ubah saiz teks)

LUMUT: Seorang pelajar Orang Kurang Upaya (OKU) pada Khamis menerima tangan robotik cetakan 3D Mekanikal bernilai RM3,150 dari Universiti Kuala Lumpur Malaysian Institute of Marine Engineering Technology (UniKL MIMET) di sini.

Wan Abdul Halim Wan Soor, 16, yang kudung dari bahagian siku kanan sejak lahir menerima tangan robotik yang mampu berfungsi dengan pergerakan siku dan jari.

"Saya berasa sangat gembira kerana akhirnya cita-cita saya untuk memiliki tangan robotik tercapai. Selama ini saya hanya membaca dalam surat khabar orang lain menerima tangan robotik.

"Kawan-kawan saya tidak mengetahui mengenai tangan robotik ini lagi, jadi saya tidak sabar untuk tunjukkan mereka yang saya telah mempunyai tangan kanan," katanya pada sidang media di Dewan Kasturi, UniKL MIMET di sini Khamis.

Ibunya Rohaini Darus, 50, berkata beliau berasa gembira dan teruja apabila anaknya yang belajar di Sekolah Menengah Kampung Datuk Ahmad Said Tambahan 2, Manjoi, menerima panggilan dari pelajar UniKL mengenai sumbangan tangan robotik itu.

"Dia memang sudah lama mahukan tangan robotik tetapi ikutkan kemampuan kami sekeluarga yang hanya bergantung dengan perniagaan menjual kuih, memang kami tidak mampu.

"Halim seorang yang aktif biarpun dia tidak mempunyai tangan sempurna. Saya saya harap dengan pemberian tangan robotik ini dia akan lebih bersemangat," katanya.

Tangan robotik itu direka oleh dua pelajar UniKL semester akhir Jurusan Kejuruteraan Elektrikal dan Elektronik Marin iaitu Muhd Khirul Alif Muhammad, 29 dan J. Kirupa Sankar, 25 dengan bantuan penyelia mereka Ahmad Makarimi Abdullah.

Tangan robotik yang dibiayai sepenuhnya oleh kedua-kedua pelajar berkenaan bersama sumbangan dari UniKL itu diperbuat daripada Acrylonitrile Butadiene Styrene (ABS) bagi memastikan ketahananannya.

Muhd Khirul Alif berkata tangan robotik berkenaan direka sejak awal tahun ini sebelum mencari calon yang sesuai untuk menerimanya.

"Kami membuat tangan ini bagi melengkapkan projek tahun akhir di samping membuat kebajikan kepada golongan yang memerlukan.

"Kami kemudiannya menghubungi adik Halim pada bulan Ogos selepas menerima maklumat dari pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat dan dengan bantuan Samudera Selatan Technical Centre, Sujana Mohd Rejab," katanya.

Ketua Kampus UniKL Mimet, Prof Madya Zainorin Mohd berkata, sumbangan tangan itu merupakan satu daripada tanggungjawab sosial korporat UniKL di samping pelajar menyiapkan projek akhir tahun mereka.

"Pihak kami sentiasa mencari dan mengalakkan inovasi baharu di kalangan pelajar di samping mampu membantu masyarakat.

"Kita juga sentiasa melakukan kolabarasi dengan pelbagai pihak termasuk Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia Perak dan Sirim Malaysia dalam melahirkan inovasi-inovasi baharu," katanya. - Bernama

Tags / Kata Kunci: OKU , tangan robotik , UniKL MIMET

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan