Lima Hakim Ditugaskan Kendali Kes IS, Keselamatan

Diterbitkan: Rabu, 16 Disember 2015 6:50 PM

Arifin Zakaria.

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Lima hakim ditugaskan khusus untuk mengendalikan perbicaraan kes melibatkan kumpulan militan IS dan soal keselamatan, kata Ketua Hakim Negara Tun Arifin Zakaria.

Beliau berkata mereka terdiri daripada empat hakim daripada bahagian jenayah di Kuala Lumpur dan seorang di Sabah untuk mengendalikan kes berkenaan di mahkamah-mahkamah tinggi.

"Bukan sebarang hakim, mereka ini terlatih dalam bidang tertentu dalam undang-undang kerana ia melibatkan soal keselamatan, ia ada batasan tertentu. Jika tidak perkara-perkara berkaitan keselamatan akan terdedah kepada umum," katanya kepada pemberita selepas majlis angkat sumpah jawatan 10 Pesuruhjaya Kehakiman di Istana Kehakiman di sini Rabu.

Beliau diminta mengulas gesaan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak bagi ditubuhkan mahkamah khas untuk mendengar kes-kes itu.

"Kami mempunyai hakim-hakim yang ditugaskan khusus untuk mengendalikan perbicaraan kes IS kerana kerajaan berpendapat ia merupakan ancaman serius terhadap negara. Di Sabah, kami ada seorang hakim yang mendengar kes berkaitan keselamatan sejak lebih setahun," katanya.

Arifin menjelaskan perbicaraan lambat selesai mungkin disebabkan oleh jumlah saksi yang banyak.

Ditanya sama ada mahkamah akan mengendalikan prosiding pada waktu malam untuk perbicaraan kes seumpama itu, beliau berkata mahkamah boleh mengadakan prosiding pada waktu malam tetapi akan melibatkan aspek keselamatan saksi-saksi.

Sementara itu Arifin dalam ucapannya menasihati hakim-hakim supaya melakukan penyelidikan terhadap isu yang dipertikaikan dalam kes di mahkamah sekiranya mereka ragu-ragu dengan alasan penghakiman yang akan diberikan.

Katanya, ini supaya hakim-hakim dapat mencapai keputusan yang adil dan saksama berdasarkan prinsip undang-undang.

Beliau berkata kebijaksanaan, kecekapan dan kemahiran hakim dalam memahami permasalahan undang-undang dapat dinyatakan menerusi alasan penghakiman.

"Amalan sistem perundangan di kebanyakan negara di dunia memperlihatkan bahawa penanda aras bagi menentukan keberkesanan dan kualiti badan kehakiman secara amalannya diukur menerusi penghakiman dan keputusan mahkamah," katanya.

Arifin berkata dalam era dunia tanpa sempadan hari ini, hasil kerja atau penghakiman seorang hakim lebih terbuka kepada kritikan sama ada daripada ahli akademik, orang awam, wartawan mahupun ahli politik di dalam dan luar negara.

Katanya, pada masa sama hakim dibatasi etika kehakimannya untuk membela penghakiman yang dikritik itu.

Arifin berkata kritikan yang baik akan memberi persepsi yang positif kepada hakim, kritikan sebaliknya menyebabkan masyarakat memandang serong terhadap badan kehakiman.

"Saya suka tegaskan di sini, selagi mana keputusan yang dihasilkan mengikut lunas undang-undang dan keadilan, anda tidak seharusnya gusar terhadap persepsi sedemikian. Penanda arasnya ialah nati nurani anda sendiri. Jika anda tidak bersalah dengan itu tiada apa yang anda perlu takutkan," katanya.

Arifin berkata hakim juga merupakan manusia biasa yang tidak lari daripada melakukan kesilapan dan hakim yang cemerlang mempunyai ketertiban atau kesopanan.

Beliau juga mengingatkan badan kehakiman supaya memupuk persahabatan baik dengan media agar orang awam mendapat pendedahan dan maklumat yang betul mengenai kes, tanggung jawab dan juga fungsi badan itu.

"Berkomunikasilah dengan jelas di dalam mengetengahkan isu perundangan dan membuat keputusan di dalam setiap kes," katanya.

Dalam pada itu, pelantikan 10 Pesuruhjaya Kehakiman itu berkuat kuasa Rabu.

Mereka ialah bekas Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan Datuk Roslan Abu Bakar, 54, bekas Ketua Bahagian Pendakwaan Jabatan Peguam Negara Datuk Abdul Wahab Mohamed, 55, dan bekas Pengarah Mahkamah Kuala Lumpur Al-Baishah Abd Manan, 56.

Tujuh lagi ialah bekas hakim Mahkamah Sesyen iaitu Datin Siti Mariam Othman, 54, Hassan Abdul Ghani,56, Chan Jit Li, 55, Muhammad Jamil Hussin, 56 dan Hayatul Akmal Abdul Aziz, 53, bekas Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh, 53, dan bekas peguam Datuk Mohamad Shariff Abu Samah, 53. - BERNAMA


Tags / Kata Kunci: IS , Tun Arifin Zakaria

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan