Pakar Beri Amaran Terhadap Perlombongan Bauksit Pada Musim Hujan

Diterbitkan: Rabu, 16 Disember 2015 8:37 AM

(Ubah saiz teks)

KUANTAN: Musim hujan yang dijangka melanda Pahang dan beberapa negeri pada minggu ini menyebabkan amaran bahaya dikeluarkan terhadap perlombongan bauksit di sini.

Kumpulan pakar memberi amaran bahawa kawasan besar yang telah dibersihkan untuk melombong bijih boleh mengakibatkan bahaya seperti gelongsoran lumpur dan tanah runtuh.

Ketua Jabatan Kejuruteraan dan Geoteknik Universiti Malaysia Pahang, Dr Muzamir Hasan berkata, Bukit Goh merupakan salah satu kawasan perlombongan bauksit yang paling aktif terletak begitu dekat dengan kawasan perumahan dan sungai.

"Ia juga merupakan kawasan berbukit, memberikan risiko kepada pergerakan tanah lebih tinggi, terutama disebabkan oleh tanah laterit yang kurang padat," katanya.

Pakar lain pula mengatakan bahawa dengan hujan lebat dengan alirannya yang meningkat, akan menjadikan lebih banyak endapan dari hakisan memasuki sungai sehingga menjadikan paras air cetek.

"Ia akan meningkatkan risiko banjir serta pencemaran air," kata Prof Dr Maketab dari Jabatan Kejuruteraan Mekanikal Universiti Tekonologi Malaysia.

The Star pada Selasa melaporkan bahawa Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi, Alui Bahari berkata, musim hujan lebat serta ribut petir dijangka berlaku di Terengganu, Pahang, Johor dan barat Sarawak.

Jabatan itu mengeluarkan amaran kuning yang menandakan hujan lebat akan berlaku di kawasan-kawasan berkenaan dalam tempoh sehari sehingga tiga hari.

Pihak yang membantah perlombongan bauksit menggesa syarikat-syarikat terlibat supaya menghentikan operasi mereka pada musim hujan dengan mengatakan bahawa pekerja mereka bakal berdepan dengan gelongsoran lumpur.

Malahan mereka yang menyokong aktiviti perlombongan itu turut bersetuju dengan pandangan tersebut.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai Lembing, Datuk Md Sohaimi Mohamed Shah yang menyifatkan perlombongan bauksit sebagai satu aktiviti ekonomi berkata, kerja-kerja di kawasan itu perlu dihentikan.

"Ia merupakan amalan standard untuk menghentikan pembalakan pada musim tengkujuh, dan ia juga perlu diamalkan pada perlombongan bauksit.

"Kesan terhadap landskap akan bertambah buruk dengan hujan lebat," katanya.

Beliau berkata, banyak lori yang mengangkut bauksit dalam keadaan hujan akan menyebabkan jalan-jalan dan kawasan berdekatan bertukar warna merah.

Pengerusi Jawatankuasa Isu Bauksit Bukit Goh, Datuk Dr Abd Wahid Abd Manap berkata, pihaknya akan meletakkan pagar sebagai langkah berjaga-jaga.

Beliau berkata, pagar berkenaan akan ditutup setiap kali hujan bagi menyekat pergerakan lori yang mengangkut bauksit.

"Tauke-tauke (peniaga) juga tidak mahu membeli bauksit bila ia dalam keadaan basah kerana ia lebih berat dan sudah tentu memberi kos lebih tinggi," katanya.

Bagaimanapun, Md Sohaimi dan Dr Abd Wahid membantah sebarang sekatan jangka panjang.

Gabungan Tindakan Terhadap Pencemaran Bauksit menggesa kerajaan negeri supaya menghentikan perlombongan itu menjelang akhir tahun.

Kerajaan Pahang membenarkan aktiviti itu kerana rakyat meraih pendapatan daripada sumber tersebut.

Menteri besar, Datuk Seri Adnan Yaakob berkata, satu penyelesaian yang akan memanfaatkan kedua-dua pihak akan diumumkan dalam beberapa minggu lagi.

Tags / Kata Kunci: bauksit

iklan

Video

Khamis, 23 November 2017 9:00 AM

Ayda Jebat Kecewa Mainan Politik

Rabu, 22 November 2017 7:00 PM

"Saya Sedih, Kecewa Dengan Nabil" - Chef Wan

Selasa, 21 November 2017 5:42 PM

Apa Terjadi Dengan Wartawan mStar?

Selasa, 21 November 2017 2:13 PM

Selepas Setahun Amira Othman 'Tidur'

Selasa, 21 November 2017 9:00 AM

Kenali Siapa Penyanyi Lagu 'Bismillah'

Isnin, 20 November 2017 7:37 PM

Pakatan Dalam Misteri - Tun M

Isnin, 20 November 2017 2:30 PM

Karier Tak Rosak - Fezrul khan

Isnin, 20 November 2017 9:00 AM

#BiziBody: Nabila Razali Simpan Foto Aedy Ashraf?

Ahad, 19 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Cikgu Meera - Oh Sayangku

Kolumnis

iklan

Iklan