Persatuan Seni Perlu Jaga Kebajikan Ahli - Ahmad Zahid

Diterbitkan: Selasa, 15 Disember 2015 11:49 PM

Ahmad Zahid (kiri) dan isteri, Hamidah Khamis (dua, kanan) bermesra bersama Juara Gegar Vaganza musim kedua Siti Nordiana pada Jamuan Makan Malam Gegar Anak Seni di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) malam Selasa. -fotoBERNAMA

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mahu persatuan, yayasan dan koperasi seni bertanggungjawab dalam menjaga kebajikan penggiat seni.

Beliau berkata setiap persatuan seni tidak harus bersikap penting diri sendiri dan perlu sentiasa membantu penggiat seni yang memerlukan.

"Saya akan usahakan supaya bantuan sebanyak RM1 juta ringgit diberikan kepada Koperasi Seniman Kuala Lumpur Berhad dengan syarat ia mesti digunakan untuk membantu anak seni yang memerlukan.

"Kalau saya tahu ada anak seni yang tidak terjaga kebajikannya, saya sanggup jadi buruk siku minta balik peruntukan itu," katanya secara berseloroh pada Malam Gegar Anak Seni (Gasseni) di sini, malam Selasa.

Turut hadir isteri Ahmad Zahid, Datin Seri Hamidah Khamis dan Pengerusi Projek Gasseni, Datuk Malek Radzuan Saharin.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri turut melancarkan Koperasi Seniman Kuala Lumpur Berhad pada majlis berkenaan.

Dalam ucapannya, Ahmad Zahid mengingatkan pertubuhan seni agar tidak mempolitikkan pergerakan mereka terutamanya untuk tujuan peribadi.

Katanya meskipun anggotanya mungkin mempunyai perbezaan pendapat namun ia harus dizahirkan secara tertib dan mengikut tata susila.

"Saya seru semua penggiat seni istiqamah dalam melakukan kegiatan seni mereka supaya apa yang dilakukan bukan hanya untuk nilai seni tapi juga ibadah," katanya.

Malam Gasseni yang julung kali diadakan menghimpunkan penggiat seni tempatan antaranya pengarah, Datuk Yusof Haslam dan penyanyi, Datuk Khadijah Ibrahim. - BERNAMA

Tags / Kata Kunci: persatuan seni , Ahmad Zahid Hamidi

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan