Malaysia Tidak Akan Berdiam Diri Isu Pemerdagangan Manusia

Diterbitkan: Selasa, 15 Disember 2015 11:43 PM

Nur Jazlan Mohamed.

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Malaysia tidak akan berdiam diri ketika jenayah pemerdagangan manusia terus menjejaskan usaha dalam menegakkan hak asasi manusia dan menghormati kedaulatan undang-undang, kata Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Nur Jazlan Mohamed.

Beliau berkata Malaysia sentiasa komited dengan rakan-rakannya dalam usaha memerangi pemerdagangan manusia dan akan terus menyokong inisiatif yang bertujuan untuk membanteras jenayah itu.

"Gesaan segera sekarang ialah bagi kerajaan-kerajaan untuk menyedari dan mengakui mekanisme dan kawalan ke atas pemerdagangan manusia (yang menjadi masalah) global, jika adapun, adalah tidak mencukupi," katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Bengkel ASEAN dan Inisiatif Koordinasi Mekong Memerangi Pemerdagangan (COMMIT): Mengenal Pasti Mangsa Pemerdagangan Manusia dan Jenis-jenis Eksploitasi Berkaitan, di sini Selasa.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata setiap negara yang menghadapi isu pemerdagangan manusia harus mengakui bahawa identifikasi dan pengecaman mangsa pemerdagangan bukannya mudah.

"Kita perlu berfikir dengan teliti tentang apa yang salah. Mengapa hanya segelintir orang dikenal pasti sedangkan kita tahu berjuta-juta orang diperhambakan di semua rantau di dunia?," katanya.

Beliau berkata adalah penting dapat mengenal pasti mangsa pemerdagangan serta mempunyai respons dan mekanisme penilaian berbeza yang berguna dalam pelbagai situasi dihadapi bagi memerangi pemerdagangan manusia.

Nur Jazlan, bagaimanapun berkata Malaysia berbangga dapat 'berdiri sama tinggi' dengan negara yang mengiktiraf keperluan membanteras kegiatan itu, dan bergerak ke hadapan dalam membina rangka kerja perundangan dan penguatkuasaan berkesan bagi menghentikan penularan masalah itu di seluruh dunia.

"Justeru, Malaysia berbangga menjadi rakan aktif dalam usaha mengkaji kaedah lebih efektif untuk meningkatkan protokol penguatkuasaan dalam identifikasi dan pengecaman mangsa-mangsa pemerdagangan," katanya.

Bengkel dua hari itu yang bermula Selasa, disertai kira-kira 75 peserta dari pelbagai badan kerajaan dan agensi penguatkuasa dari negara-negara anggota ASEAN. 

- BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan