SPDP Sasar Dua Daripada 11 Kerusi DUN Baharu Sarawak

Diterbitkan: Isnin, 14 Disember 2015 7:49 PM

(Ubah saiz teks)

MIRI: Parti Demokratif Progresif Sarawak (SPDP) menyasarkan untuk bertanding dalam dua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) baharu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Presidennya, Datuk Seri Tiong King Sing berkata parti itu akan tetap bertanding dalam lapan kerusi yang diperuntukkan kepada parti itu di bawah perjanjian agihan kerusi Barisan Nasional (BN).

"Kami tetap dengan keputusan bertanding dalam lapan kerusi yang diperuntukkan kepada kami walaupun ada ura-ura menyatakan parti mesra BN lain mahu bertanding dalam kerusi yang diperuntukkan kepada SPDP.

"Parti akan melobi untuk sekurang-kurangnya dua daripada 11 kerusi baharu DUN," katanya dalam kenyataan di sini Isnin tanpa menamakan kerusi baharu itu.

Menurut sumber parti, dua kerusi DUN baharu tersebut ialah Samalaju dan Mulu tetapi perbincangan mengenai agihan 11 kerusi baharu dalam kalangan parti komponen BN masih belum bermula.

Sumber itu berkata seorang bekas senator, seorang pegawai kanan kementerian peringkat negeri dan seorang pemimpin pemuda adalah antara calon berpotensi disenaraikan oleh SPDP untuk kerusi baharu tersebut.

Pertambahan 11 kerusi DUN baharu susulan usul diluluskan Dewan Rakyat 2 Disember lepas, menyaksikan 82 kerusi bakal dipertandingkan dalam PRN-11 berbanding 71 kerusi ketika ini.

Bahagian pilihan raya yang baharu itu adalah Batu Kitang, Stakan, Serembu, Bukit Semuja, Gedong, Kabong, Tellian, Bukit Goram, Murum, Samalaju dan Mulu.

PRN ke-11 dijangka berlangsung awal tahun depan sebelum penggal DUN Sarawak berakhir 20 Jun 2016.

Buat masa ini, lapan kerusi yang diperuntukkan kepada SPDP ialah Krian, Pakan, Meluan, Bekenu, Marudi, Batu Danau, Tasik Biru dan kerusi DUN Ba'Kelalan.

Di DUN Sarawak ketika ini, Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) memiliki 35 kerusi; Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) enam; SPDP enam; dan Parti Rakyat Sarawak (PRS) lapan.

Pembangkang pula, DAP mempunyai 12 kerusi dan PKR, tiga. Terdapat satu Bebas. - BERNAMA

Tags / Kata Kunci: SPDP , kerusi DUN , PRN Sarawak

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan