"Terpulanglah, Kalau Tak Faham Mesej Tak Tahulah" - Najib

Diterbitkan: Sabtu, 12 Disember 2015 7:12 PM

Presiden Umno Datuk Seri Najib Tun Razak menghulurkan tangan kepada Timbalan Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin selepas ucapan penggulungan pada Perhimpunan Agung Umno2015 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Sabtu. Turut memerhatikan Naib Presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (kiri) dan Ketua Wanita, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil (dua, kiri).

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, keputusan untuk menjernihkan semula hubungan beliau dan Tan Sri Muhyiddin Yassin terletak di tangan timbalannya itu.

"Terpulanglah, terpulanglah (untuk berdamai), mesej sudah jelas. Kalau anda tidak faham mesej ini, saya tak tahulah," katanya.

Najib berkata demikian ketika ditanya mengenai reaksi Muhyiddin semasa beliau bersalam dengannya selepas selesai menyampaikan ucapan penggulungan presiden pada Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2015 di sini, Sabtu.

Jelas beliau, keputusan untuk mereka berdamai bukan kehendak peribadinya tetapi selepas mengambil kira pandangan perwakilan parti.

"Kena tanya dialah, ini bukan (kehendak) saya. Ini kehendak perhimpunan agung, kuasa tertinggi dalam Perlembagaan parti.

"Anda tengoklah tadi, saya bukan secara peribadi atau sebagai presiden tapi ini ketetapan yang dibuat dalam Perhimpunan Agung Umno," katanya.

Najib berkata, isyarat perwakilan amat jelas iaitu tidak mahu pertelagahan berterusan di dalam parti.

"Alhamdulillah mesej ini amat jelas bahawa mereka (perwakilan) mahu pemimpin parti berdamai, selesaikan ikut semangat syura dalam jemaah Umno," katanya.

Ketika ditanya mengenai reaksi Muhyiddin, Najib berkata, Ahli Parlimen Pagoh itu hanya bersalaman dengan beliau tanpa berkata apa-apa.

"Beliau tak kata apa-apa cuma bersalaman," kata Najib.


Tags / Kata Kunci: Presiden Umno , Muhyiddin Yassin , PAU 2015

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan