PAU Tayang Siaran Langsung Final Piala Malaysia - Pengerusi Tetap

Diterbitkan: Sabtu, 12 Disember 2015 11:58 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Dewan Merdeka di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini yang sedang melangsungkan Perhimpunan Agung Umno (PAU) dikejutkan dengan satu pengumuman yang tiada kena-mengena dengan acara itu, sebaliknya tentang Piala Malaysia 2015.

Pengumuman itu dibuat oleh Pengerusi Tetap, Tan Sri Badruddin Amiruldin bahawa skrin besar di Dewan Merdeka di PWTC akan menayangkan siaran langsung perlawanan akhir Piala Malaysia antara Kedah dan Selangor.

Tayangan itu bagi membolehkan perwakilan dan sesiapa sahaja yang terlibat dengan PAU tetapi tidak sempat pulang ke rumah, dapat menonton perlawanan itu selepas perhimpunan berakhir petang Sabtu.

"Atas ihsan pengurusan Umno, maka malam ini sesiapa yang ingin menonton perlawanan bola sepak boleh masuk ke dewan ini, skrin dalam dewan ini akan dibuka.

"Yang ada tiket bolehlah pergi ke stadium sokong Kedah…dan Selangor. Saya Pengerusi Tetap kalau seri (keputusan) pun tak apa," katanya sambil disambut meriah oleh perwakilan dalam dewan.

Katanya, selain skrin di Dewan Merdeka, skrin-skrin di bahagian luar juga akan dibuka untuk menyiarkan perlawanan tersebut.

Beliau turut mengumumkan pembentangan usul ekonomi pada hari ini terpaksa dihentikan dan diteruskan dengan usul agama disebabkan masa yang terhad.

Presiden parti Datuk Seri Najib Tun Razak dijadualkan akan membuat ucapan penggulungan pada pukul 5 petang Sabtu selepas perbahasan perwakilan yang bermula Khamis selesai.

Mengenai perlawanan malam Sabtu, ia akan menyaksikan pertemuan naib juara Liga Super, Selangor dan juara Liga Perdana, Kedah di Stadium Shah Alam.

Selangor merupakan pasukan paling banyak merangkul Piala Malaysia iaitu sebanyak 32 kali manakala Kedah meraih kejuaraan Piala Malaysia sebanyak empat kali sebelum ini - 1990, 1993,2007 dan 2008 selain muncul naib juara sebanyak enam kali iaitu 1940, 1987,1988, 1989, 1992, 2004.

Tags / Kata Kunci: PAU , Piala Malaysia

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan