'Headphone' Imej Baharu Rani Kulup 2016

Diterbitkan: Jumaat, 11 Disember 2015 7:00 PM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Abdul Rani Kulup Abdullah yang terkenal dengan tagline 'kipidap' bakal tampil dengan imej baharu bermula awal tahun depan.

Presiden Pertubuhan Martabat Jalinan Muhibbah (MJMM) itu berkata, beliau akan memakai headphone, aksesori yang menjadi trend anak muda masa kini.

Headphone merah dan hitam itu  bakal melengkapkan imej Abdul Rani yang selama ini cukup sinonim dengan beret merah, kemeja seragam hitam dan merah serta kaca mata hitam.

Beliau yang mesra dengan panggilan 'Ayah' berkata, imej baharu itu sebagai simbolik untuk menyampaikan mesej kepada kerajaan supaya peka kepada luahan hati rakyat.

"Ia amaran kepada pemimpin negara mengenai kehidupan rakyat yang susah. Jangan pekakkan telinga, jangan butakan hati.

"Rakyatlah yang mengangkat mereka sehingga menjadi pemimpin. Mereka sepatutnya turun padang untuk mendengar masalah rakyat, " katanya ketika ditemui mStar Online di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) sempena Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2015 di sini, Jumaat.

Abdul Rani berkata, rakyat terbeban dengan kenaikan kos sara hidup terutama dengan peningkatan harga barang dan tambang pengangkutan yang naik mendadak.

"Semuanya nak naik, naik sahaja tapi turunnya tak ada. Lepas ini ntah apa-apa lagi yang nak naik," katanya.

Menurut beliau, sebagai wakil rakyat mereka sepatutnya mendengar setiap permasalahan yang dibangkitkan dan mengutarakan perkara itu kepada kerajaan demi kesejahteraan rakyat.

"Wakil rakyat kena bersuara, jangan dapat gaji diam sahaja. Rakyat di bawah langsung tak ambil tahu," katanya sambil menambah pesanan itu ditujukan kepada semua wakil rakyat tanpa mengira parti politik.

Kehadiran Abdul Rani mencuri tumpuan pengunjung di PWTC pada Jumaat.

Orang ramai tidak putus-putus mahu bergambar bersama 'Raja Report Malaysia' itu.

Walaupun Abdul Rani merancang untuk tampil dengan imej baharu itu bermula pada 2016, beliau sudah mula menyesuaikan diri dengan memakai aksesori itu sejak kebelakangan ini.


"Ayah akan mula pakai sepenuhnya pada 2016," katanya.

Tags / Kata Kunci: headphone , Abdul Rani Kulup , PAU 2015

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan