Rujuk Perlembagaan Parti Tunai Tanggungjawab - Hishammuddin

Diterbitkan: Khamis, 10 Disember 2015 3:00 PM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Semua pihak dalam Umno seharusnya berpegang kepada Perlembagaan sebagai rujukan penting bagi melaksanakan tanggungjawab masing-masing kepada parti.

Naib Presiden parti, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, Perlembagaan Umno adalah dokumen penting yang tidak mengambil kira emosi dan pandangan peribadi.

"Mengenai kesetiaan dan ketaatan parti, kita kembali kepada Perlembagaan parti untuk menjalankan tugas dan tanggungjawab masing-masing.

"Tanggungjawab pemimpin juga di dalam Perlembagaan, ia sebagai satu perkara khusus yang menekankan kepada disiplin parti," katanya pada sidang media selepas ucapan dasar presiden parti pada Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2015 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, Khamis.

Dalam pada itu, Hishammuddin turut menyentuh mengenai perang persepsi terhadap parti dan kepimpinan Umno.

"Politik kebencian, menuding jari dan menjurus kepada perpecahan sama ada serangan terhadap pemimpin, perkauman atau keagamaan tidak seharusnya dilihat secara mendalam oleh pemimpin dan ahli parti.

"Jika tidak, bimbang ia akan menjadi amalan dalam masyarakat kita," katanya yang menegaskan supaya semua pihak menolak sebarang perang persepsi demi kesejahteraan parti.


Tags / Kata Kunci: Hishammuddin Tun Hussein , PWTC , PAU 2015 , Umno

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan