Malaysia-Kemboja Meterai MoU Ambil Pekerja Kemboja

Diterbitkan: Khamis, 10 Disember 2015 7:00 PM

Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Richard Riot Jaem (dua kiri) bertukar dokumen perjanjian persefahaman (MoU) dengan Menteri Buruh dan Latihan Vokesyenal Cambodia, Ith Samheng (dua kanan) selepas majlis menandatangani perjanjian persefahaman antara kerajaan Malaysia dengan Cambodia, Khamis. Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Manusia Datuk Seri Saripuddin Kasim (kiri) dan Setiausaha Negara kerajaan Cambodia, Datuk Othsman Hassan (kanan).

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Malaysia dan Kemboja menandatangani dua memorandum persefaham (MoU) berhubung pengambilan pekerja dan pembantu rumah Kemboja.

MoU itu menggariskan proses pengambilan, memberi pekerjaan dan penghantaran pulang secara sistematik di samping melindungi hak asasi pekerja.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Richard Riot Jaem berkata pengambilan akan dilakukan menerusi Agensi Pengambilan Malaysia (MRA) dan Agensi Pengambilan Kemboja (CRA) yang berlesen.

"Di bawah MoU ini, sebelum rakyat Kemboja datang bekerja di Malaysia, MRA dan CRA akan menyediakan kontrak pekerjaan mereka agar pekerja memahami antara lain soal bayaran gaji dan penginapan.

"Ini bagi memastikan pekerja Kemboja memahami apa yang bakal berlaku apabila mereka tiba di sini," katanya kepada pemberita pada majlis MoU itu di sini, Khamis.

Riot menandatangani MoU itu bagi pihak Malaysia sementara Kemboja diwakili Menteri Buruh dan Latihan Vokasional Kemboja, Ith Samsheng.

Riot berkata peruntukan pekerja Kemboja dalam pelbagai sektor akan ditentukan berdasarkan permintaan daripada majikan di negara ini.

Beliau berkata perkara itu akan dibincangkan lebih terperinci oleh pegawai kanan kedua-dua negara.

Kini terdapat kira-kira 8,000 pekerja berdaftar Kemboja di Malaysia dengan kira-kira 3,000 orang merupakan pembantu rumah, katanya dan menambah jumlah yang tidak berdaftar tidak diketahui jumlahnya.

Pada 2011, Perdana Menteri Kemboja, Hun Sen menggantung penghantaran pembantu rumah Kemboja ke Malaysia berikutan laporan terdapat penganiayaan oleh majikan di Malaysia dan agensi pengambilan di Kemboja.-- Bernama


Tags / Kata Kunci: Kemboja , MRA , Richard Riot Jaem

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan