TUDM Tubuh Seksyen Integriti Bagi Tingkat Imej Pasukan

Diterbitkan: Rabu, 9 Disember 2015 8:00 PM

Panglima Tentera Udara Jeneral Tan Sri Roslan Saad beramah mesra dengan anggota yang hadir pada Majlis Pelancaran Seksyen Integriti TUDM di Auditorium Kementerian Pertahanan, Rabu.

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) menubuhkan Seksyen Integriti bagi memastikan anggotanya bebas daripada melakukan sebarang kesalahan yang boleh menjejaskan imej pasukan itu.

Panglima TUDM, Jeneral Tan Sri Roslan Saad berkata beberapa program teras akan dijalankan unit itu secara berterusan dalam masa terdekat.

Menurutnya Seksyen Integriti berperanan mewujudkan program yang memberi kefahaman dan pengetahuan integriti kepada warga TUDM secara terus di bawah kendalian pegawai integriti bertauliah.

"Melalui program ini, peserta boleh merancang dan melaksanakan pelbagai aktiviti membabitkan aspek integriti di pangkalan masing-masing," katanya pada majlis pelancaran Seksyen Integriti di Auditorium Kementah, di sini.

Hadir sama Timbalan Panglima TUDM, Lt. Jeneral Datuk Seri Affandi Buang, Ketua Staf Markas Angkatan Tentera Malaysia, Lt. Jeneral Datuk Seri Sabri Adam dan Panglima Bantuan Udara, Lt. Jeneral Datuk Abdul Mutalib Abdul Wahab.

Pada majlis itu, Roslan turut melancarkan buku kecil berkaitan integriti sebagai panduan kepada warga kerja TUDM.

Roslan turut menyeru warga kerja TUDM memantapkan budaya integriti supaya lebih telus, ikhlas dan berhemah ke arah mencapai matlamat menjadi satu organisasi cemerlang dan mantap.

"Tingkah laku tidak berintegriti boleh mengakibatkan imej dan reputasi yang sekian lama dibina oleh TUDM musnah dalam sekelip mata," katanya.-- Bernama

Tags / Kata Kunci: TUDM , Roslan Saad , Seksyen Integriti

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan