Perhimpunan Agung Umno Bukan Gelanggang Tunjuk Hebat - Rafidah

Diterbitkan: Rabu, 9 Disember 2015 11:08 PM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Janganlah ada mana-mana pihak menjadikan Perhimpunan Agung Umno sebagai gelanggang bagi menunjukkan kehebatan atau sokongan kepada mana-mana individu, jelas bekas Ketua Wanita Umno, Tan Sri Rafidah Aziz.

"Untuk Perhimpunan Agung Umno esok (Khamis) , saya harap tidak ada sesiapa yang boleh mendatangkan retak dan belah dalam Umno, serta menyebabkan ada perasaan serba salah kerana siapa yang akan disokong, ditentang, dipuji-puji atau dicerca," jelasnya di laman Facebook miliknya pada Rabu.

Bekas menteri  Perdagangan Antarabangsa dan Industri itu turut menegaskan bahawa parti Umno telah lama wujud tetapi telah terbatal dan diharamkan pada tahun 1987 kerana pertandingan di pucuk kepimpinan.

"Umno sekarang menghadapi beberapa bentuk krisis. Krisis bercakap tanpa berusaha dan bekerja di akar umbi, krisis syok sendiri kerana menganggap Umno parti yang besar, kuat dan tetap menang.

"Ada juga krisis keyakinan di kalangan orang-orang Melayu dan Bumiputera kerana mereka hanya dipamerkan pertelingkahan, perbalahan dan politik berkelompok.

"Krisis kekurangan minat dan sokongan di kalangan anak-anak muda Melayu dan Bumiputera kerana mereka memandang sepi akan apa yang berlaku dalam parti.

"Krisis akibat kelakuan yang tidak betul dalam parti serta krisis  terhakisnya intipati slogan "Bersatu Bersetia Berkhidmat" kerana bahana politik wang dan pecah-belah."

Rafidah berkata, jangan jadikan Umno 2015 berada dalam kemalapan dan kegelapan, malah sengketa serta perbalahan boleh menjadi punca kepada kejatuhan Umno.

"Sepatutnya ketepikan apa juga kepentingan diri dan peribadi. Jangan disimpan dendam dan marah. Jangan dibiarkan ahli-ahli dan perwakilan berpecah-belah.

"Sesiapa juga yang dianggap bertaraf pemimpin mempunyai tanggungjawab penting untuk membawa dan mendorongkan perpaduan dan penyatuan.

"Mementingkan parti daripada segala-galanya kerana Umno tunjang kerajaan Barisan Nasional.

"Memadamkan bara yang panas, bukan mengapi-apikannya  sehingga membakar parti.

"Membersihkan parti daripada gejala-gejala perosak seperti politik wang, politik berpihak-pihak dan politik penting diri."

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan