MIC Beri Peluang 800 Cawangan Kembali Kepada Parti

Diterbitkan: Rabu, 9 Disember 2015 10:06 PM

Dr S. Subramaniam

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: MIC memberi peluang kepada kira-kira 800 cawangan yang tidak menyertai pemilihan semula pada Julai lalu untuk mendaftarkan semula keanggotaan mereka dengan parti.

Presiden MIC, Datuk Seri Dr S. Subramaniam berkata ibu pejabat parti akan mula menghantar borang keanggotaan kepada cawangan berkenaan hujung minggu ini.

"Oleh kerana mereka tidak menyertai pemilihan lepas atas sebab-sebab tertentu, maka kita beri peluang kepada mereka untuk mengaktifkan semula cawangan-cawangan mereka melalui pendaftaran keanggotaan parti.      

"Cawangan-cawangan yang terlibat perlu mengisi borang keanggotaan mereka sebelum 19 Disember ini kerana pada tarikh itu kita akan adakan penamaan cawangan," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat tergempar Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) MIC, di sini pada Rabu.    

Dr Subramaniam berkata pemilihan bagi cawangan-cawangan berkenaan dijadual diadakan seminggu selepas proses penamaan itu.  

"Sekiranya tiada pertandingan selepas penamaan, ketua cawangan akan diumumkan sebagai ketua cawangan yang dipilih secara sah dan tidak perlu mengadakan mesyuarat agung dan pemilihan," katanya.      

Dr Subramaniam, yang juga Menteri Kesihatan, berkata langkah yang diambil itu bertujuan menyatupadukan anggota akar umbi parti, khususnya cawangan dan mengurangkan perbalahan.

Cawangan MIC terlibat membuat keputusan untuk tidak mengambil bahagian dalam proses penamaan calon dari 10 hingga 12 Julai lalu kerana dilaporkan menyokong kepimpinan bekas presiden Datuk Seri G. Palanivel semasa krisis dalaman parti itu.-Bernama

Tags / Kata Kunci: Datuk Seri Dr S. Subramaniam , MIC

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan