Usahawan Bumiputera Akan Dapat Manfaat TPPA - Teraju

Diterbitkan: Selasa, 8 Disember 2015 10:17 PM

Husni Salleh.

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Unit Peneraju Agenda Bumiputera (Teraju) berpendapat usahawan Bumiputera akan mendapat manfaat daripada Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA).

Namun, strategi yang lebih agresif perlu diambil bagi mempertingkatkan daya saing mereka, kata Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Husni Salleh.

"TPPA akan memberi peluang dan cabaran kepada semua, bukan sahaja Bumiputera. Tetapi kita perlu mencari strategi yang lebih agresif menjadikan TPPA sebagai platform kepada usahawan bumiputera bersaing di peringkat antarabangsa," katanya.

Husni berkata perlu ada pendekatan seperti meluaskan lagi dasar "carve out" dengan penekanan kepada syarikat yang berdaya saing dan berpotensi tinggi untuk mengambil peluang terbaik dalam TPPA.

"Kita perlu hadapi cabaran untuk menjadi lebih peka kepada persekitaran serta peluang, bukan sahaja di dalam negara tetapi juga diluar negara. Banyak syarikat Bumiputera hanya tertumpu kepada pasaran domestik," katanya pada Taklimat Kad Laporan Pemerkasaan Ekonomi Bumiputera 2015 terbitan Teraju, di sini, Selasa.

Laporan tersebut dilancarkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sebelum menyampaikan taklimat Presiden sempena Perhimpunan Agung Umno 2015 yang bermula pada Selasa.

Husni berkata, analisis kos faedah TPPA yang dibuat dan diteliti oleh antaranya, PriceWaterHouseCoopers dan Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa (ISIS), menunjukkan bahawa peluang yang dibawa TPPA mengatasi cabarannya.

Setakat ini, katanya, kebanyakan analisis kos faedah juga menunjukkan bahawa secara amnya usahawan Bumiputera tidak akan menerima impak yang besar daripada TPPA.

"Kita juga dapati bahawa kita perlu beri penekanan kepada meningkatkan eksport Bumiputera kerana kurang 10 peratus daripada syarikat Bumiputera mengeksport atau mempunyai usaha sama luar negara," katanya.

Menurutnya lagi, insentif sedia ada diharapkan boleh menjadikan syarikat bumiputera lebih kompetitif dan mendapat pendedahan yang lebih besar.

"Kita dapati melalui syarikat teras, banyak syarikat kita telah menembusi pasaran di luar negara. Sebab itu kalau boleh kita mahu pastikan kesemua syarikat Bumiputera dapat masuk dalam Program Syarikat Bumiputera Berprestasi Tinggi (TeraS)," katanya.

Husni berkata, Teraju dan agensi berkaitan dalam pembangunan usahawan Bumiputera mendapat pengecualian penuh daripada syarat-syarat di bawah TPPA.

"Kita masih belum muktamadkan soal syarikat berkaitan kerajaan dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan di bawah bab perusahaan milik negara (SOE), di mana kajian masih dibuat di peringkat Khazanah Nasional," katanya.

Beliau berkata kajian tersebut dijangka dibentangkan pada Januari nanti. - BERNAMA

Tags / Kata Kunci: TERAJU , TPPA , Husni Salleh

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan