Najib Perlu Undur Demi Kepentingan Rakyat - Muhyiddin

Diterbitkan: Selasa, 8 Disember 2015 12:01 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Tan Sri Muhyiddin Yassin mahu Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak melakukan 'tindakan yang betul' demi kepentingan rakyat.

Berlapik ketika menyampaikan hasrat rakyat supaya presiden Umno itu berundur, Muhyiddin juga meminta Najib bertindak mengikut naluri hatinya.

"Perkara ini banyak disebut oleh ramai orang. Saya nak tegaskan, bukan hak saya untuk meminta presiden berundur. Apa lagi membuat desakan. Cuma ini adalah pandangan sebahagian besar daripada rakyat.

"Jadi apa yang boleh saya katakan kepada Datuk Seri Najib, it is your call, sir. Ask your moral conscience. Do the right thing for the interest of the people and the country," katanya ketika menyampaikan ucapan di Kelab Sultan Sulaiman di sini, Isnin malam.

Selain itu Muhyiddin yang juga timbalan presiden Umno mendesak supaya ahli parti itu menolak pemimpin yang menjadi barah dan nanah.

"Biarlah saya berterus terang di sini. Siapa yang menjadi barah dan nanah di dalam Umno mesti ditolak. Demi menyelamatkan Umno, Melayu dan negara, barah dan nanah di dalam Umno harus dibuang.

"Saya sudah menunaikan tanggungjawab saya. Saya mungkin berhadapan dengan kemungkinan disingkirkan daripada parti walaupun apa yang saya ungkapkan pada malam ini adalah atas rasa cinta saya kepada parti keramat ini," katanya.

Menyentuh mengenai isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan dana politik berjumlah RM2.6 bilion, Muhyiddin meminta supaya Najib berehat sementara siasatan selesai.

“Saya ingin cadangkan supaya perdana menteri berehat seketika. Biarlah siasatan berjalan dengan bebas, telus dan adil. Jangan timbul persepsi bahawa perdana menteri campurtangan dalam siasatan.

"Ambillah cuti sehingga kes selesai. Jika siasatan mendapati perdana menteri tidak terlibat, baliklah semula sambung tugas sebagai perdana menteri.

"Dengan itu saya percaya nama perdana menteri dan juga imej Umno dapat dibersihkan," katanya.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan