Video Dalam Facebook Dakwa Dana Politik Dr M Tidak Bersih

Diterbitkan: Selasa, 8 Disember 2015 5:00 PM

Dr Mahathir Mohamad.

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Sebuah video yang dimuatnaik dalam laman sosial Facebook mendakwa Tun Dr Mahathir Mohamad menggunakan dana kerajaan untuk membayar syarikat kroni yang kemudiannya membiayai aktiviti politiknya.

Video infografik berbentuk animasi yang berdurasi enam minit itu membandingkan cara pemimpin politik berbeza menggumpul dana untuk kempen politik mereka dan kemudian mendakwa Dr Mahathir berkomplot terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak untuk menubuhkan "Majlis Penasihat".

Video tersebut yang mendapat tontonan sebanyak 400,000 kali turut mendedahkan bahawa bekas perdana menteri itu tidak "100 peratus bersih" kerana beliau menggunakan dana kerajaan negeri untuk melabur dalam syarikat kroni yang sebagai balasan menyumbang sebahagian daripada keuntungan mereka untuk aktiviti politik beliau.

Dalam pada itu, video itu turut menyatakan Najib tidak menggunakan dana awam, sebaliknya mendapat pembiayaan menerusi penderma dari Timur Tengah.

Video tersebut kemudiannya mendakwa kritikan berterusan Dr Mahathir terhadap Najib terutamanya berkaitan derma RM2.6 bilion ke dalam akaun peribadinya dan isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) adalah satu usaha untuk mempromosikan agenda "Majis Penasihat" beliau.

Menerusi teori video tersebut, majlis berkenaan akan meletakkan Dr Mahathir dalam kedudukan kuasa sama dengan pemerintahan diktator dan membenarkan beliau untuk terus memerintah negara ini.

Dr Mahathir sebelum ini mengesahkan kepada media bahawa beliau mencadangkan idea penubuhan Majlis Penasihat tetapi berkata peranannya hanya akan menasihati perdana menteri.

Video tersebut turut membidas pakatan pembangkang dengan mendakwa mereka mengadakan majlis makan malam untuk mengumpul dana sebagai satu cubaan untuk menyembunyikan sumbangan daripada jutawan tempatan dan beberapa pihak dari Amerika Syarikat.

Video tersebut dimuatnaik ke dalam sebuah akaun Facebook menggunakan nama Ngelaban dan mencetuskan komen berunsur kritikan dan sokongan terhadap dakwaan itu.

Tags / Kata Kunci: video , Facebook , dana politik , Dr Mahathir

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan