Putera Raja Berjiwa Besar

Diterbitkan: Isnin, 7 Disember 2015 8:33 AM

Tunku Abdul Jalil ketika berusia 17 tahun, terkenal dengan minatnya terhadap haiwan.

(Ubah saiz teks)

JOHOR BARU: Sikap baik hati Tunku Laksamana Johor Tunku Abdul Jalil Sultan Ibrahim terhadap rakyat dan minat mendalam terhadap haiwan menyentuh hati ramai individu yang pernah dekat dengan diri beliau.

Antara yang terkesan dengan kemangkatan putera berjiwa rakyat itu adalah Timbalan Pengerusi Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM) Johor Baru, Velasamy S.Pillai.

Velasamy berkata, Tunku Abdul Jalil sering menawarkan diri untuk membantu mangsa banjir yang melanda negeri itu pada 2006.

"Beliau seorang yang baik hati dan peramah yang juga turut mengambil berat dan menyayangi rakyat sejak di usia remaja.

"Saya masih lagi ingat dalam satu majlis penyampaian bantuan kepada perkampungan Orang Asli di Mawai, beliau mendengar luahan masalah yang dihadapi masyarakat," kata Velasamy dalam satu temubual menerusi panggilan dari London.

Velasamy berkata beliau berasa sedih kerana tidak dapat pulang ke tanah air untuk memberi penghormatan terakhir kepada putera raja itu.

Beliau berkata Tunku Abdul Jalil sering terlibat dalam pelbagai aktiviti membantu mangsa banjir memandangkan dirinya adalah Timbalan Pengerusi Jawatankusa Kebangsaan Untuk Khidmat Masyarakat PBSM pada waktu itu.

"Ibunya (Permaisuri Johor Raja Zarith Sofiah Ibni Almarhum Sultan Idris Shah) mempengerusikan jawatankuasa itu," katanya.

Bekas wartawan, Meera Vijayan yang menemuramah putera raja itu beberapa tahun lalu apabila dia bertugas untuk The Star menyifatkan beliau sebagai peramah dan lemah-lembut.

"Saya bertemu dengan beliau dalam beberapa majlis dan beliau akan melambaikan tangan atau berhenti untuk berbual seketika.

"Saya pernah bertemu dengan beliau di Zoo Johor, beliau mendedahkan memelihara beberapa haiwan di kediamannya," kata Meera menerusi e-mel dari Australia.

Malah, Tunku Abdul Jalil terkenal dengan minat mendalam terhadap haiwan dan menitik-beratkan pemuliharaan hidupan liar.

Seorang lulusan pengajian zoologi dan konservasi dari sebuah universiti di Britain, Tunku Abdul Jalil turut menawarkan diri sebagai penjaga zoo di Zoo Singapura selama setahun dan Zoo London selama dua tahun.

Almarhum merupakan anak keempat daripada enam beradik.

Diputerakan pada 5 Julai 1990, Almarhum disahkan menghidapi kanser hati tahap empat sejak Disember tahun lepas dan pernah menjalani pemindahan hati di sebuah hospital pakar di Guangzhou, China sebelum ini.

Bagaimanapun, penyakit Almarhum dilaporkan kembali menyerang sejak awal tahun ini.

Sepanjang menghidap kanser, Almarhum kerap mengunjungi pesakit-pesakit di Hospital Sultan Ismail dan Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Baharu untuk beramah mesra dan bertanyakan khabar.

Susulan itu, ayahandanya, Sultan Ibrahim turut menubuhkan Yayasan Kanser Tunku Laksamana Johor tahun ini untuk membantu pesakit kanser di negara ini.

Almarhum merupakan kerabat diraja Johor pertama yang berkhidmat dalam pasukan polis selepas menamatkan kursus latihan kepolisan selama sembilan bulan.

Selain itu, Almarhum, selaku pengerusi syarikat kapal layar Innovatige Sdn Bhd., yang menganjurkan perlumbaan Piala Monsun, turut memainkan peranan penting dalam membangunkan sukan itu.

Melalui program Liga Layar Malaysia dan program Belia Belayar pada 2013 yang diperkenalkan baginda, turut memberi peluang kepada beribu-ribu belia yang tidak berkemampuan tentang pelayaran dan memperoleh pengalaman dalam sukan kapal layar.

Atas sumbangan Almarhum terhadap pembangunan sukan kapal layar, baginda pernah menerima Anugerah Pembangunan Presiden 2014 daripada Persekutuan Pelayaran Antarabangsa (ISAF) tahun lepas.



Tags / Kata Kunci: Tunku Abdul Jalil , putera raja

iklan

Video

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Jumaat, 15 September 2017 2:00 PM

Cassidy Malu Cakap Melayu?

Jumaat, 15 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Payslip - Semangat Yang Hilang

Khamis, 14 September 2017 4:00 PM

Farida Jalal Mahu Lebih Kolaborasi Malaysia-Bollywood

Khamis, 14 September 2017 9:00 AM

Faye Kusairi Menangis Tonton Diri Sendiri

Rabu, 13 September 2017 2:00 PM

Saya Tak Jual Rupalah! - Erwin Dawson

Rabu, 13 September 2017 9:00 AM

EKSKLUSIF! Kisah Elizabeth Tan Nak Bunuh Diri

Kolumnis

iklan

Iklan