KDN Warta Perintah Larangan Penerbitan Tujuh Buku

Diterbitkan: Isnin, 7 Disember 2015 8:14 PM

(Ubah saiz teks)

PUTRAJAYA: Kementerian Dalam Negeri (KDN) mewartakan Perintah Larangan terhadap penerbitan tujuh buku berunsur keagamaan yang boleh memudaratkan ketenteraman dan kepentingan awam, berkuatkuasa 3 November lalu. 

Setiausaha Bahagian Kawalan Penerbitan dan Teks Al-Quran KDN, Hashimah Nik Jaafar dalam satu kenyataan berkata isi kandungan penerbitan-penerbitan itu didapati boleh mengelirukan umat Islam di negara ini. 

"Ia menyalahi syariah yang ditetapkan dalam al-Quran dan al-Hadith," katanya. 

Tujuh buah buku berbahasa Melayu itu ialah Warisan Ilmu Tok Kenali Kelantan: Mengenal Diri, Warisan Ilmu Tok Kenali Kelantan: Mati Sebelum Mati, Warisan Ilmu Tok Kenali Kelantan: Cahaya Di Atas Cahaya dan Warisan Ilmu Tok Kenali Kelantan: 7 Petala Langit dan 7 Petala Bumi.

Turut dikenakan perintah larangan itu ialah Warisan Ilmu Tok Kenali Kelantan: Mengenal Allah, Pusaka Ilmu Tok Kenali Mengenal Allah (Tok Kenali Kelantan) dan Pusaka Ilmu Tok Kenali Mengenal Diri (Tok Kenali Kelantan) yang kesemuanya diterbitkan Tujuh Likur Enterprise.

Beliau berkata pewartaan Perintah Larangan ini adalah menurut Seksyen 7 (1) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984.

Beliau berkata adalah menjadi satu kesalahan menurut subseksyen 2 Seksyen 8 Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 sekiranya mana-mana pihak yang mencetak, mengimport, menghasilkan, menghasilkan semula, menerbit, menjual, mengeluar, mengeliling, menawarkan untuk menjual, mengedar atau memiliki penerbitan itu.

Jika sabit kesalahan boleh dikenakan tindakan penjara selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau denda tidak melebihi RM20,000 atau kedua-duanya," katanya.

Tags / Kata Kunci: KDN , perintah larangan , Hashimah Nik Jaafar

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan