Persiapan Menjelang PAU 2015 Berjalan Lancar - Ab Rauf

Diterbitkan: Ahad, 6 Disember 2015 3:49 PM

Raptai pemeriksaan barisan kehormat pada acara menaikkan bendera Umno 'Sang Saka Bangsa' disertai ahli-ahli tiga sayap parti Wanita, Pemuda dan Puteri di Dataran Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Ahad.

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Persiapan menjelang Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2015 Rabu ini berjalan lancar, kata Setiausaha Kerja Umno, Datuk Ab Rauf Yusoh.

Beliau berkata, persiapan bagi acara di dalam dan di luar dewan bagi perasmian perhimpunan agung ketiga-tiga sayap Wanita, Pemuda dan Puteri pada Rabu dan Perhimpunan Agung Umno, Khamis ini juga lancar.

Antara perubahan yang akan dilakukan ialah lagu "Melayu Bersatu" diberikan nafas baharu dengan lebih rancak dan akan disampaikan oleh koir terdiri daripada  32 mahasiswa Fakulti Seni Muzik, Universiti Teknologi Mara (UiTM), katanya kepada pemberita selepas menyaksikan raptai penuh perasmian perhimpunan agung parti itu di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, Ahad.

Raptai itu termasuk acara menaikkan bendera Umno, Sang Saka Bangsa, dan pemeriksaan perbarisan serta persembahan koir.

Beliau berharap anggota parti itu dapat menghayati seni kata dan lagu "Melayu Bersatu" supaya dapat menyerapkan lagi semangat dan obor perjuangan orang Melayu.

Raptai penuh perbarisan yang berlangsung bermula 8 pagi selesai tengah hari.

PAU 2015 akan berlangsung Selasa ini dengan majlis taklimat Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak kepada anggota Majlis Tertinggi, Exco ketiga-tiga sayap, Ketua, timbalan, naib ketua, setiausaha, ketua penerangan dan bendahari bahagian-bahagian Umno, serta Ketua Wanita, Pemuda dan Puteri bahagian.

Sementara itu, perasmian perhimpunan agung ketiga-tiga sayap parti yang akan dirasmikan ketua masing-masing akan diadakan Rabu ini dan diikuti perasmian PAU oleh presiden parti pada Khamis ini.

Dianggarkan seramai 5,732 anggota Umno akan menghadiri perhimpunan kali ini dengan 2,762 anggota akan menghadiri perhimpunan agung Khamis ini, dan selebihnya akan menghadiri perhimpunan agung ketiga-tiga sayapnya iaitu 993 orang (Wanita), 992 (Pemuda) dan 991 (Puteri) pada Rabu. -- Bernama

Tags / Kata Kunci: PAU 2015 , Umno , Ab Rauf Yusoh

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan