Orang Awam Ziarah Jenazah Tunku Jalil Perlu Patuhi Kod Etika Berpakaian

Diterbitkan: Ahad, 6 Disember 2015 12:19 PM

(Ubah saiz teks)

JOHOR BAHARU: Orang ramai yang ingin menziarahi jenazah Tunku Laksamana Johor Tunku Abdul Jalil Sultan Ibrahim di Istana Besar pagi Ahad diminta mematuhi etika berpakaian yang telah ditetapkan.

Yang Dipertua Jumaah Majlis Diraja Johor Datuk Abdul Rahim Ramli, dalam sidang akhbar ketika mengumumkan kemangkatan anakanda keempat Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar dan Permaisuri Johor Raja Zarith Sofiah Sultan Idris, berkata orang awam diminta mengikut kod etika berpakaian yang disarankan.

Bagi lelaki Islam, mereka perlu mengenakan baju Melayu teluk belanga berdagang luar putih, kain samping hitam dan songkok lilitan jalur putih sementara lelaki bukan Islam perlu memakai baju dan seluar hitam, tali leher dan toha hitam di lengan kiri.

Sementara itu, wanita Islam perlu mengenakan baju kurung putih, kain batik, dan tudung putih manakala wanita bukan Islam memakai baju dan seluar sopan dan toha hitam di lengan kiri atau tudung hitam.

Orang awam dibenarkan melawat jenazah dari pukul 9 pagi sehingga 11.30 pagi ini sementara orang kenamaan dibenarkan melawat dari pukul 11.30 pagi sehingga 12.30 tengahari.

Pintu laluan bagi orang awam terletak di pintu masuk pejabat Jumaah Majlis Diraja sementara pintu laluan orang kenamaan adalah di pintu Istana Besar.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan