Jenazah Tunku Jalil Selamat Dimakamkan

Diterbitkan: Ahad, 6 Disember 2015 3:55 PM

Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Putera Mahkota Brunei Pengiran Muda Al-Muhtadee Billah Sultan Hassanal Bolkiah bersama-sama mengaminkan doa ketika mengziarahi jenazah Almarhum Tunku Laksamana Johor Tunku Abdul Jalil Sultan Ibrahim di Istana Besar, Ahad. Turut kelihatan Timbalan Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin. -fotoBERNAMA

(Ubah saiz teks)

JOHOR BAHRU: Tunku Laksamana Johor Tunku Abdul Jalil Sultan Ibrahim selamat disemadikan di Makam Diraja Mahmoodiah pada pukul 3.10 petang Ahad.

Terdahulu, keranda yang menempatkan jenazah Tunku Abdul Jalil telah dibawa keluar dari Istana Besar di sini selepas solat Zohor pada pukul 1.20 petang.

Keranda itu dibawa oleh Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar, Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail serta adik-beradik puteranya yang lain.

Jenazah Almarhum kemudian dibawa menggunakan pedati yang ditarik oleh 30 Askar Timbalan Setia Johor melalui Jalan Istana Besar terus ke makam tersebut sepanjang tiga kilometer.

Sultan Ibrahim secara peribadi telah membuat pemeriksaan ke atas keranda pada pukul 1.27 petang.

Sultan Ibrahim dan ahli-ahli keluarga diraja turut mengiringi jenazah diikuti oleh pembesar-pembesar negeri dan orang ramai.

Hujan turun selama 10 minit kira-kira pukul 12.50 tengahari tetapi rakyat Johor, yang sebelum ini telah memberi penghormatan terakhir kepada putera Johor itu, tidak berganjak dari kawasan istana.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan