Jacel Kiram: Tian Chua Beri Keterangan Di Bukit Aman - Berita Semasa | mStar

Jacel Kiram: Tian Chua Beri Keterangan Di Bukit Aman

Diterbitkan: Jumaat, 4 Disember 2015 2:30 PM

Tian Chua
(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Polis mengambil keterangan daripada Tian Chua berhubung pertemuan kontroversi Anggota Parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar dengan Jacel H. Kiram, anak perempuan bekas ketua pengganas yang menceroboh Lahad Datu, Sabah pada 2013.

Anggota Parlimen Batu itu hadir di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman bersama peguamnya, R. Sivarasa serta beberapa penyokong kira-kira pukul 11.30 pagi untuk memberi keterangan berhubung perkara itu.

Bercakap kepada pemberita kemudian, Tian Chua berkata beliau memberi sepenuh kerjasama kepada polis bagi menjalankan siasatan.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (Siasatan/Perundangan) Bukit Aman Datuk Amar Singh Ishar Singh ketika dihubungi mengesahkan pihaknya telah mengambil keterangan daripada Tian Chua.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 124L Kanun Keseksaan kerana cubaan sabotaj," katanya.

Jacel memuat naik empat keping gambar pertemuan 9 November itu dalam akaun Facebooknya, sekali gus mengundang kemarahan pelbagai pihak di negara ini.

Perbuatan itu menimbulkan kemarahan rakyat Sabah dan keluarga mangsa yang terkorban di Lahad Datu sehingga persidangan Dewan Undangan Negeri Sabah pada 26 November lepas meluluskan usul menghalang beliau serta Nurul Izzah daripada memasuki negeri itu. -- Bernama

Tags / Kata Kunci: Tian Chua , Jacel Kiram , Bukit Aman
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan