24,000 Kes Tibi Dilaporkan, Ditahap Membimbangkan - Dr Subramaniam

Diterbitkan: Khamis, 3 Disember 2015 11:03 PM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Kira-kira 24,000 kes penyakit tuberkulosis (tibi) atau batuk kering telah dilaporkan di negara ini tahun lepas dan ia berada ditahap membimbangkan, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S. Subramaniam.

Beliau berkata berdasarkan laporan bagi penyakit berjangkit tibi pada 2013 menunjukkan penurunan jumlah kes tetapi meningkat kembali pada tahun lepas, sebanyak enam peratus.

"Ini memang satu perkara yang tidak memuaskan kerana kita masih nampak trend peningkatan kes tibi sejak kebelakangan ini.

"Terdapat pelbagai punca penyakit tibi, salah satu daripada punca penyakit adalah disebabkan ketahanan kuman-kuman terhadap rawatan kimoterapi dan pelbagai jenis ubat yang mengundang kepada peningkatan penyakit," katanya kepada pemberita selepas perasmian Kongres Pertubuhan Respiratori Asia Pasifik Ke-20 2015 (APSR 2015) di sini, Khamis.

Selain daripada itu katanya, kebanjiran pendatang asing ke negara ini juga menjadi penyumbang kepada wabak itu dan kementeriannya sedang melaksanakan langkah-langkah yang sesuai bagi mengawal keadaan seperti mengadakan saringan kesihatan.

"Kita juga ada masalah pekerja asing yang menyumbang kepada kes ini.

Kementerian amat mengambil berat tentang perkara ini dan sedang mengadakan usaha untuk membuat program saringan kesihatan kepada orang ramai termasuk warga asing yang masuk ke negara ini bagi mengesannya di peringkat awal," katanya.

Manakala Dr Subramaniam optimis sasaran menjadikan Malaysia sebagai negara bebas rokok menjelang 2045 direalisasikan meskipun kerajaan berhadapan dengan pelbagai isu seperti rokok elektronik (e-rokok) atau vape secara berleluasa.

Beliau juga berkata kementeriannya masih mengkaji dan meneliti cadangan untuk mewujudkan akta dan garis panduan mengenai langkah-langkah kawalan terhadap e-rokok.

"Kita sedang merangka peraturan untuk mengawal penggunaan vape namun akan mengambil masa kerana memerlukan penelitian secara menyeluruh," katanya lagi.

Sejumlah 1,500 peserta terdiri daripada pakar dalam bidang kesihatan dan sains dari lebih 40 negara Asia Pasifik menghadiri kongres yang berlangsung selama empat hari bermula hari ini di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur bagi membincangkan penyakit tibi serta berkongsi pandangan tentang penyakit itu.

Turut hadir adalah Presiden APSR Michiaki Mishima dan Presiden Pertubuhan Torasik Malaysia Dr Roslina A Manap, juga merangkap Presiden Kongres APSR tahun ini. -- Bernama



Tags / Kata Kunci: Dr Subramaniam , tibi

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan